Khamis, 15 November 2018 | 6:08pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto Rosdan Wahid

Mohamad Sabu mempengerusikan mesyuarat GBC-MALINDO

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mempengerusikan Mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) bersama rakan sejawatnya, Menteri Pertahanan Indonesia, TYT Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu di Bali, Indonesia, hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua Menteri Pertahanan terbabit turut memberi komitmen untuk terus meningkatkan kerjasama keselamatan dan sosio ekonomi di sepanjang kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Antara isu penting yang dibincangkan ialah peningkatan operasi bersama dan pertukaran maklumat untuk memberi keyakinan kepada penduduk di kawasan sempadan. Turut dibincangkan adalah usaha meningkatkan kerjasama dan memperkasa hubungan dua hala untuk mengelakkan kawasan sempadan bersama dieksploitasi selain menangani masalah keselamatan bersama.

“Mesyuarat itu turut berpuas hati terhadap kemajuan semua aktiviti yang dijalankan oleh Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Kawalan Operasi Bersama, Jawatankuasa Latihan Bersama, Jawatankuasa Sosioekonomi, dan Jawatankuasa Kerjasama Polis,” katanya.

Katanya, di akhir mesyuarat itu, kedua-dua Menteri Pertahanan menandatangani Risalah Sidang ke-41 GBC MALINDO.

Lawatan kerja Mohamad adalah sempena mesyuarat ke-41 GBC MALINDO yang juga satu landasan baik untuk meningkatkan hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia di samping menjadi faktor utama menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran serantau.

Mesyuarat GBC MALINDO diadakan setahun sekali bersilih ganti antara Malaysia dan Indonesia.

Berita Harian X