Khamis, 15 November 2018 | 8:52pm
Fadzlena Jafar menerima pentauliahan daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamad Hatta Shaharom (tengah), sambil diperhatikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. - Foto Nik Hariff Hassan
Fadzlena Jafar menerima pentauliahan daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Mohamad Hatta Shaharom (tengah), sambil diperhatikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. - Foto Nik Hariff Hassan

Fadzlena dilantik Munsyi Dewan

KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian Kandungan Vertikal Pendidikan NSTP, Fadzlena Jafar menjadi wartawan pertama dilantik sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Fadzlena yang telah 20 tahun berkhidmat di akhbar BH dan kini mengetuai bahagian pendidikan NSTP, satu-satunya pengamal media yang dilantik dalam kalangan 27 Munsyi Dewan (Bahasa) Karyawan Luar, masing-masing terdiri daripada warga pendidik, pensyarah dan pakar bahasa di negara ini.

Beliau berkata, pengiktirafan yang cukup bermakna ini bukanlah pencapaian buat diri sendiri, sebaliknya kejayaan BH yang terkenal sebagai akhbar yang memartabatkan bahasa Melayu.

“Saya asalnya bukan pakar dalam bidang ini, namun bermula dari BH dan Unit Pendidikan saya banyak belajar mengenai bahasa memandangkan BH sememangnya memberi penekanan khusus kepada bahasa Melayu yang betul dalam penulisan berita.

“Pengiktirafan ini adalah untuk BH khususnya pengarang berita dan penyunting akhbar itu yang banyak memberi peluang kepada saya untuk menimba pengalaman dalam bidang penulisan serta kewartawanan sepanjang dalam perkhidmatan," katanya.

Fadzlena Jafar bersama Munsyi Dewan lain pada majlis pentauliahan sempena Hari Inovasi DBP 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. - Foto Nik Hariff Hassan
Fadzlena Jafar bersama Munsyi Dewan lain pada majlis pentauliahan sempena Hari Inovasi DBP 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. - Foto Nik Hariff Hassan

Beliau ditemui selepas pentauliahan Munsyi Dewan bersempena dengan Majlis Hari Inovasi DBP 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Wisma DBP, di sini.

Yang hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Mohamad Azhan Md Amir.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

BH terkenal dengan agenda memperkasakan pendidikan dengan menerbitkan sisipan Didik khusus untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Minda (Pentaksiran Tingkatan 3), Skor (Sijil Pelajaran Malaysia) dan Varsiti untuk warga kampus di negara ini.

Sementara itu, Abang Sallehuddin berkata Munsyi Dewan ialah penceramah dan fasilitator yang dilantik khas serta diiktiraf DBP untuk mengendalikan dan menyediakan perkhidmatan tenaga pengajar atau pakar rujuk kepada masyarakat di Malaysia.

"Pelantikan ini amat bermakna kepada DBP kerana Munsyi Dewan turut berperanan membantu fungsi DBP memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.

"Mereka juga berperanan sebagai pembimbing pelajar, guru dan orang awam di sekolah atau masyarakat yang memerlukan sama ada di dalam atau di luar negara serta menjadi panel penilai atau penyunting buku atau manuskrip terbitan DBP," katanya.

Kali terakhir DBP melantik Munsyi Dewan adalah pada 2012 dan sehingga kini seramai 260 Munsyi Dewan yang aktif membantu peranan DBP.

Pada majlis sama, DBP turut menghargai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh warga kerja DBP berkaitan aspek kualiti, kreativiti dan inovasi.

Antara penghargaan yang diberikan ialah Hadiah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan Anugerah Inovasi serta Anugerah Citra DBP.

Berita Harian X