Jumaat, 16 November 2018 | 1:06pm
NIK Nazmi Nik Ahmad menyampaikan ucapan dasar ketika Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional PKR di IDCC, Shah Alam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

AMK setuju ratifikasi ICERD

SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersetuju dengan cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun berkata, kerajaan perlu memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak tergugat jika menandatangani ICERD.

“Jika kita boleh lindungi Perlembagaan Persekutuan, kenapa tidak jika kita tandatangan ICERD. Namun ia perlulah dilakukan bersyarat iaitu tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan

“Saya berpendirian ICERD tidak ada masalah dan seperti saya katakan ialah syarat Perlembagaan Persekutuan tidak perlu diubah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendirian PKR dalam isu ICERD selepas dua sekutu rakan komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Nasional (AMANAH) menolak untuk kerajaan meratifikasi konvensyen berkenaan.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan kerajaan mencontohi langkah bijaksana ditunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu meratifikasi ICERD.

Beliau dilaporkan berkata, tiada keperluan bagi ICERD diwujudkan di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin kebebasan beragama dan hak untuk semua kaum.

Katanya, Islam yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan memberi ruang lebih baik dan adil kepada semua kaum daripada ICERD.

Berita Harian X