Jumaat, 16 November 2018 | 8:16pm
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang. - Foto Hafiz Sohaimi

Kit Siang sokong tuntutan ganti rugi daripada Goldman Sachs

KUALA LUMPUR: Satu mel suara dihantar Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs), David Solomon kepada pekerjanya tidak mencukupi untuk ‘menjarakkan’ bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu daripada skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Lim Kit Siang.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, mesej terbabit hanya timbul selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) AS memfailkan saman sivil berhubung pembabitan bank pelaburan itu di Mahkamah AS.

“Mel suara Solomon kepada pekerja Goldman Sachs menyatakan: “Ini bukan kita” untuk menjarakkan bank mega itu daripada skandal berbilion 1MDB sudah terlambat, terlalu sedikit dan terlalu sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Solomon dilaporkan meninggal mesej suara itu Rabu lalu, yang ‘bocor’ kepada pihak media, dan Kit Siang menganggap ia tidak lebih cubaan untuk membersihkan bank itu daripada jenayah penipuan yang dilaporkan membabitkan ratusan juta dolar dana negara.

Mesej itu terdedah apabila Solomon secara terbuka dalam forum di Singapura memberitahu beliau berasa ‘teruk’ dengan ketidakpatuhan dan peranan bank pelaburan itu membantu pengaturcaraan bon untuk 1MDB.

Tegas Kit Siang, kerajaan Malaysia tidak berminat dengan penyesalan sebaliknya mahu bank pelaburan itu membayar ganti rugi berjumlah US$600 juta (RM2.5 bilion).

“Bayar US$600 juta kepada 1MDB untuk membuktikan penyesalan sebenar dan langkah pertama untuk menjadi warga korporat global yang bertanggungjawab,” katanya.

Bank AS itu dilaporkan memperoleh AS$600 juta (RM2.5 bilion) sebagai yuran kerjanya dengan 1MDB, termasuk tiga tawaran bon pada 2012 dan 2013 yang meningkat AS$6.5 bilion (RM273 bilion).

Sementara itu, bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner, 48, dilaporkan mengaku bersalah atas dua tuduhan jenayah melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) membabitkan skandal 1MDB.

Berita Harian X