Sabtu, 17 November 2018 | 3:54pm
SULTANAH Nur Zahirah menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Muhamad Amir Zainudin pada Konvokesyen kali ke-10, UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di Kuala Nerus, hari ini. - NSTP/Rozainah Zakaria

Bantu kerajaan tangani masalah sosial - Sultanah Nur Zahirah

KUALA NERUS: Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah meminta graduan memainkan peranan membantu kerajaan menangani penularan gejala sosial dalam masyarakat.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertitah, penularan gejala itu mempunyai kesan negatif yang merencatkan usaha kerajaan untuk membangunkan masyarakat madani.

“Beta memandang serius gejala sosial dan masalah moral tidak sihat yang kian menular, termasuk dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Konvokesyen kali ke-10, UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif dan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Md Nor.

Pada majlis itu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat kepada Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan menyampaikan anugerah pelajaran Diraja kepada Muhamad Amir Zainuddin dan Ong Ying Qian.

Sultanah Nur Zahirah bertitah, graduan juga perlu bijak menggunakan media baharu demi kebaikan umat dan setiap isu dan perkara yang diterima perlu dinilai secara objektif.

Titahnya, penggunaan media baharu yang semakin berkembang pesat dan pantas memerlukan masyarakat khususnya graduan menilai kesahihan setiap isu dimuat naik bagi mengukuhkan jati diri graduan berpendidikan tinggi.

“Melestarikan pembelajaran dan kemahiran amat penting untuk menjadikan insan yang sentiasa mampu menyumbang. Justeru, beta meminta graduan usah berhenti belajar dan menambah kemahiran.

“Graduan juga mesti meneruskan jiwa kesukarelawan yang sememangnya dipupuk sepanjang mengikuti pengajian, jadilah insan yang dinamik dalam usaha membantu masyarakat, selain semarakkan budaya ilmu dalam kehidupan masyarakat,” titahnya.

Sultanah Nur Zahirah turut menyeru graduan untuk membantu masyarakat dengan ilmu supaya mereka dapat menjalani kehidupan untuk mendepani pelbagai cabaran.

Berita Harian X