Ahad, 18 November 2018 | 12:04pm
Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan pada demonstrasi aman anjuran PAS, UMNO dan NGO Pahang menentang justifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berikutan bertentangan dengan budaya serta Perlembagaan Persekutuan di Perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Jumaat lalu. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pemuda UMNO desak Waytha Moorthy lepas jawatan

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy untuk melepaskan jawatan kerana didakwa berniat memecah belahkan perpaduan negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata selaku pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf, Waytha Moorthy pernah memburukkan negara ke negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah dan menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi.

Katanya sehingga kini Waytha Moorthy tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan sebagaimana yang ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.

“Pemuda UMNO mendesak beliau (Waytha Moorthy) untuk melepaskan dan meletakkan jawatan selaku menteri secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.

“Malah imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya akan mengundang krisis keyakinan rakyat terhadap masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini.

“Selain itu beliau juga perlu menarik balik segala kenyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengkhianatan beliau memburuk-burukkan negara di mata negara luar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada 26 Oktober lalu, Waytha Moorthy, dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun hadapan.

Namun, Perdana Menteri Tun, Dr Mahathir Mohamad kemudian dilapor berkata rundingan membabitkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia adalah negara dengan penduduk berbilang kaum dan masing-masing dengan kepentingan tertentu.

Sementara itu, Asyraf juga berkata sifat Waytha Moorthy yang lebih cenderung untuk membangkitkan isu sensitif rakyat dikhuatiri akan menyebabkan permusuhan antara kaum.

“Lebih mendukacitakan apabila sejak menjadi menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama bertindak sebaliknya.

“Tindakan beliau untuk meratifikasi dan mengesahkan ICERD hanya menzahirkan kesombongan dan keangkuhan sungguhpun kerajaan sedar majoriti rakyat melihatnya sebagai suatu yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang sememangnya menjadi isu amat sensitif,” katanya.

Berita Harian X