Ahad, 18 November 2018 | 12:18pm
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mohamad Sabu (kiri) menerima replika cek Sepuluh Ribu Ringgit ke Tabung Peduli Amanah Selangor daripada Setiausaha Pertubuhan Kecemerlangan Ummah, Abdul Qayyum Suhaimi (kanan) dengan diperhatikan oleh Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim (dua kiri) dan Naib Pengerusi 3 Amanah Selangor, Mariam A Rashid (dua kanan) ketika majlis Konvensyen Perti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Bandaran Subang Jaya USJ 7. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tunggu keputusan SPR - Mat Sabu

SUBANG JAYA: Kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan memutuskan calon dan parti, yang akan bertanding menentang Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata mengikut tradisi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerusi DUN Rantau adalah milik PKR.

“Kita tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). PH akan putuskan. Kalau seperti PRU lalu, tempat (DUN) itu (Rantau) PKR tanding,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata dijangkakan PH akan menggunakan logo gabungan pada PRK berkenaan.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mohamad Sabu (dua kiri) bersama Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim (kiri) menyampaikan sumbangan ke tabung misi bantuan Indonesia ketika majlis Konvensyen Perti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Bandaran Subang Jaya USJ 7. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kerusi DUN sebelum ini dimenangi Mohamad tanpa bertanding selepas calon PKR, Dr S Streram dihalang memasuki kawasan pengundian kerana tidak memiliki pas SPR.

Pada 23 Mei lalu, Streram memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan di kerusi DUN Rantau.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, dibatalkan dan tidak sah.

SPR dijangka akan mengumumkan keputusan sama ada akan diadakan PRK DUN Rantau, selepas tamat tempoh rayuan mahkamah selama 14 hari bermula Jumaat.

Difahamkan, SPR akan menunggu keputusan daripada Mahkamah Persekutuan sekiranya ada pihak mengemukakan rayuan terhadap keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Seremban berhubung pembatalan kemenangan Mohamad, di DUN Rantau pada PRU lalu.

Berita Harian X