Ahad, 18 November 2018 | 4:02pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

UMMAH mahu Waytha Moorthy disiasat

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan dan disiasat berhubung penularan klip video kenyataannya yang memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara sebelum ini, kata Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzzaman Mohamad.

Kamaruzzaman berkata, berdasarkan kandungan ucapan Waytha Moorthy dalam klip video yang viral dalam media sosial itu, Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu jelas boleh dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan tiga perkara.

“Pertama, beliau melakukan fitnah terhadap negara dengan berbohong di peringkat antarabangsa kononnya penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini didiskriminasi secara teruk sedangkan ia tidak pernah berlaku.

“Kedua, beliau menimbulkan imej tidak baik dan mengkhianati negara dengan kerja jahat memburuk-burukkan sistem negara ini di luar negara dan ketiga, tindakannya itu menimbulkan suasana tegang dalam negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penularan klip video berdurasi 2 minit 39 saat yang menunjukkan Waytha Moorthy membuat kenyataan menerusi wawancara dengan sebuah rancangan televisyen luar negara yang menuduh Malaysia yang dikuasai Melayu Islam menindas penganut Hindu dan masyarakat India.

Kamaruzzaman berkata, antara siasatan dan tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap Waytha Moorthy termasuk menerusi Akta Hasutan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Malah, katanya, kerakyatan ahli Dewan Negara itu juga wajar dikaji semula kerana dikatakan tidak layak menjadi warganegara yang taat kepada negara.

Berita Harian X