Isnin, 19 November 2018 | 12:51pm
P Waytha Moorthy hadir ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hak Orang Asli lebih terjamin jika ratifikasi ICERD - Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR: Hak Orang Asli akan lebih terjamin jika kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy.

“Sekiranya ICERD ditandatangani oleh kerajaan maka boleh dilaksanakan ‘reservation’ (pengkhususan) tertentu bagi memastikan hak-hak Orang Asli terjamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-UMNO Maran) sama ada hak hak Orang Asli akan terbatal jika ICERD diratifikasi.

Jawapan itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang terutama Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-UMNO Kepala Batas) yang menyifatkan penjelasan Waytha Moorthy sebagai mengelirukan.

Keadaan itu bagaimanapun dapat dikawal dengan baik oleh Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon yang bertindak mematikan mikrofon wakil rakyat berkenaan.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-BERSATU Jeli) mengenai keluasan tanah rizab Orang Asli yang sudah diwartakan, Waytha berkata, tanah seluas 32,779.37 hektar membabitkan 192 Kampung Orang Asli sudah diwartakan setakat Disember 2015.

“Tanah terbabit diwartakan sebagai Kawasan Orang Asli di bawah Seksyen 6, Seksyen 7 Akta 134 dan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965.

“Sebanyak 661 kampung lagi dengan anggaran keluasan 99,854.67 hektar masih dalam proses untuk diangkat permohonan dan kelulusan pewartaan,” katanya.

Berita Harian X