Rabu, 21 November 2018 | 9:03pm
DATUK Saifuddin Abdullah - Foto ASYRAF HAMZAH

Saifuddin diasak wakil kerajaan, pembangkang isu ICERD

KUALA LUMPUR: Kabinet akan membuat keputusan berkaitan isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata keputusan itu akan mengambil kira pandangan semua pihak.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Sesi penggulungan oleh Saifuddin kecoh apabila beliau diasak bertubi-tubi oleh wakil UMNO dan PAS berkaitan perkara itu sebaik beberapa minit mula berucap.

Penyokong kerajaan kemudian turut serta dalam isu itu yang mahukan ratifikasi ICERD ditangguhkan.

Saifuddin yang sepatutnya menyentuh mengenai isu ratifikasi Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak dan Politik (ICCPR) yang dibangkitkan ketika perbahasan tidak sempat menghabiskan ucapan apabila Ahli Parlimen kebanyakannya pembangkang mengasak supaya menjelaskan pendirian kerajaan berkaitan ICERD pula.

“Kesimpulannya ialah keputusan ini akan dibuat oleh Kabinet dan kita akan mengambil kira semua perkara yang telah ditimbulkan, termasuklah yang ditimbulkan Yang Berhormat Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya menjawab asakan itu.

Saifuddin kelihatan tercengang dan terpaksa membiarkan seorang demi seorang Ahli Parlimen bangun mencelah.

Sebaik Saifuddin mahu menjawab, ada saja Ahli Parlimen yang bangun mencelah mahu beliau menyatakan pendirian kerajaan sama ada mahu meratifikasikan ICERD atau tidak.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN UMNO-Pasir Salak) memulakan celahan apabila terus bangun bertanya berkaitan ICERD sebaik Saifuddin mula berucap.

Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) juga bangun menceritakan bagaimana kebanyakan orang Melayu ditemuinya merayu kerajaan menangguhkan ratifikasi ICERD, selain menegaskan ia bukan keutamaan negara ketika ini.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) kemudian bangun menggesa kerajaan membatalkan cadangan ratifikasi ICERD, manakala Khairy Jamaluddin (BN UMNO-Rembau) mempersoalkan kegagalan kerajaan mendapatkan pandangan umum mengenai perkara itu sebelum mengumumkannya.

Turut bangkit mendesak adalah Anwar (PH PKR-Port Dickson) yang mahu kerajaan menangguhkan cadangan berkenaan selaras dengan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mohon menteri jelaskan untuk tidak meneruskan cadangan ini sehinggalah perkara prinsip mengenainya dimuktamadkan supaya ia tidak lagi dipanjangkan,” kata Anwar.

Beberapa Ahli Parlimen lain turut menggesa penangguhan atau pembatalan ratifikasi ICERD termasuklah Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BEBAS-Bagan Serai).

Awang Hashim (PAS-Pendang) pula menggesa kerajaan menilai dahulu kesan sosial pada negara yang sudah meratifikasi ICERD, manakala Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkata undang-undang yang bercanggah dengan ICERD seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar di mahkamah antarabangsa jika konvensyen itu diratifikasi.

Kekecohan itu berakhir selepas Saifuddin meringkaskan jawapannya dan memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan mengenai ICERD.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, ‘diserang’ wakil rakyat pembangkang mengenai isu sama, hingga suasana memuncak dengan laungan ‘menteri rasis’ daripada blok pembangkang terhadap Pengerusi HINDRAF itu.

Berita Harian X