Khamis, 22 November 2018 | 8:22pm
KETUA Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng.

Kelas renang di hotel dikhuatiri jejas industri pelancongan

SHAH ALAM: Kehadiran pelajar di kolam renang hotel bagi mengikuti kelas renang dikhuatiri akan mengganggu pelanggan yang menggunakan kemudahan itu, seterusnya memberi kesan negatif kepada industri pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, berkata ia kemungkinan besar mengundang aduan daripada pelanggan hotel dan berdasarkan trend media sosial sekarang, aduan sebegini akan menjadi viral dengan cepat.

“Ini akan menimbulkan pandangan negatif terhadap hotel di Malaysia dan industri pelancongan secara keseluruhan.

“Apa yang kami paling risau adalah dari segi keselamatan, terutama kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Lip Seng kemudian berkongsi satu ulasan negatif pelanggan pada laman perkhidmatan pelancongan TripAdvisor membabitkan sebuah hotel terkenal di luar negara.

Menurut ulasan itu, seorang pelanggan hotel tidak puas hati dengan kehadiran sekumpulan kanak-kanak bersama-sama ibu masing-masing ke kolam renang hotel berkenaan untuk belajar berenang sedangkan mereka bukan pelanggan hotel.

Pelanggan terbabit juga menulis dia tidak selesa apabila kumpulan itu menukar pakaian renang di tepi kolam dan membiarkan barang serta peralatan mereka berselerak.

Lip Seng berkata, secara praktikal, kolam renang hotel adalah sebahagian fasiliti untuk penghuni hotel serta pelancong dan mereka patut diberi keutamaan dalam penggunaannya.

“Sekiranya pada masa sama ada gangguan oleh kumpulan bukan penghuni, ini akan menyebabkan persepsi negatif terhadap hotel terbabit.

“Sememangnya sudah ada hotel yang menawarkan fasiliti masing-masing kepada sekolah untuk aktiviti tertentu sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

“Tetapi kami secara am berpendapat kolam renang hotel tidak sesuai untuk pelajaran renang, terutama bagi kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, faktor keselamatan perlu diberi keutamaan yang mana reka bentuk kolam renang hotel bukan dibina untuk menampung keperluan pelajaran atau latihan renang, terutama bagi kanak-kanak dan secara berkumpulan.

“Saiz, bentuk, kedalaman dan reka bentuk kebanyakan kolam renang hotel, sekiranya bukan semua, adalah untuk tujuan rekreasi sahaja.

“Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan pelajaran renang kepada pelajar adalah baik tetapi pelaksanaan perlu diteliti supaya semua aspek diambil kira termasuk dari segi pelancongan.

“Kami berharap kementerian akan mengkaji semula cadangan terbabit dan kami bersedia membantu sekiranya boleh, bukan sahaja sektor perhotelan tetapi patut membabitkan sektor lain juga.

Semalam, NSTP melaporkan Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan industri perhotelan berhubung keperluan menggunakan kolam renang mereka bagi pelajaran renang untuk pelajar sekolah yang akan diwajibkan kelak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, ia sebagai tambahan terhadap apa yang diumumkan sebelum ini untuk menggunakan kemudahan kolam renang awam termasuk di kompleks sukan berhampiran sekolah.

Berita Harian X