Khamis, 22 November 2018 | 8:27pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy (tengah) meninggalkan dewan selepas tamat sesi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kerajaan hanya ratifikasi ICERD jika perlu

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) jika ada keperluan selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, berkata sebarang keputusan berhubung ICERD juga hanya akan diputuskan selepas melakukan perbincangan dan mengambil kira pandangan masyarakat serta wakil rakyat kerajaan serta pembangkang.

Beliau turut mengulangi jaminan kerajaan bahawa sekiranya didapati wujud keperluan untuk meratifikasi ICERD, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan membabitkan hak istimewa Bumiputera, tidak akan dipinda atau dimansuhkan.

“Kerajaan memberi jaminan Perkara 153 tidak akan dipinda atau dimansuhkan.

“Jika ICERD perlu diratifikasi kelak, maka pendirian dan pendapat dan cadangan semua pihak akan diambil kira.

“Kita akan adakan libat urus bersama masyarakat serta wakil kerajaan dan pembangkang dan ambil kira semua pandangan.

“Hanya selepas itu semua (dilakukan), jika perlu sahaja, tindakan sewajarnya akan diambil oleh kerajaan (untuk meratifikasi ICERD),” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Waytha Moorthy merujuk kepada soalan dibangkitkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) ketika perbahasan hari ini yang bertanyakan apakah pendirian sebenar kerajaan mengenai ratifikasi ICERD.

Bagaimanapun, ucapan Waytha Moorthy hari ini tenang tanpa ‘serangan’ seperti sebelum ini walaupun cuba ‘dipanaskan’ oleh Siti Zailah yang bangun mahukan cadangan kerajaan itu dibatalkan sahaja.

Sementara itu, ketika ditemui di luar dewan, Waytha Moorthy berkata, beliau sedia membantu siasatan polis berhubung penularan klip video kenyataannya yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara.

“Boleh, ya...saya sedia (beri kerjasama penuh),” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada sidang media hari ini mengesahkan akan memanggil menteri terbabit untuk direkodkan keterangannya berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara.

Ia berikutan penyebaran kenyataan video Waytha Moorthy yang didakwa dirakam pada tahun 2007 dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Berita Harian X