Jumaat, 23 November 2018 | 10:47am
Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Usaha tingkat kemahiran renang perlu disokong semua pihak - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha untuk meningkatkan kemahiran berenang dan menyelamatkan nyawa dalam kalangan pelajar perlu disokong semua pihak dan tidak dijadikan polemik.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata seharusnya semua pihak yang mempunyai kolam renang, berlapang dada apabila cadangan dibuat oleh Kementerian Pendidikan berkaitan penggunaan kemudahan sedemikian sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Katanya isu berkenaan mungkin tidak menjadi masalah di kawasan bandar yang mempunyai kolam awam dan juga kompleks sukan termasuk menyediakan latihan dan slot renang untuk orang ramai termasuk kanak-kanak.

“Bagi kawasan yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian, pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perlu berbincang dengan pihak hotel atau kelab yang mempunyai kolam renang untuk melaksanakan program CSR sedemikian.

“Perbincangan ikhlas semua pihak terbabit akan dapat menjayakan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya aktiviti di air dan mengurangkan kes lemas membabitkan kanak-kanak seperti mana yang dihasratkan oleh MKAA.

“Antara lain, pihak kerajaan mungkin boleh menyediakan pelbagai insentif kepada pihak hotel atau kelab yang menjayakan program CSR manakala NGO berkaitan boleh menyediakan tenaga pengajar untuk latihan renang dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal Perak, data menunjukkan kira-kira 500 kanak-kanak menjadi mangsa lemas setiap tahun dan ia adalah penyebab kematian kedua tertinggi bagi kanak-kanak berusia antara satu dan 18 tahun di Malaysia .

Secara purata terdapat 700 kes lemas setiap tahun, statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus insiden mati lemas direkodkan pada tahun lepas berbanding tahun 2016.

Justeru, lebih banyak aktiviti pendidikan juga perlu dilaksanakan untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang pencegahan lemas dengan sokongan semua pihak berkuasa, NGO dan setiap lapisan masyarakat.

Sementara itu, Lam Thye juga berkata, berhubung isu pihak hotel atau kelab yang mahu menjaga privasi tetamu, perkara itu boleh diselesaikan menerusi sistem penjadualan.

“Mungkin jadual latihan boleh disesuaikan dengan kehendak mereka seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Program berkenaan perlu dilaksanakan secara sukarela dan bukannya secara paksaan.

“Sebenarnya pendidikan tentang keselamatan aktiviti air untuk kanak-kanak masih tidak dianggap sebagai perkara yang serius walaupun terdapat ramai yang menjadi mangsa setiap tahun.

“Kita perlu ingat bahawa setiap kematian akibat lemas boleh dicegah, dengan syarat semua pihak yang berkaitan serta orang awam memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan,” katanya.

Berita Harian X