Jumaat, 23 November 2018 | 3:21pm
TOH Puan Zaiton Mat Amin (tengah), Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang bersama ahli-ahli wanita UMNO Bahagian Marang membuat laporan polis ke atas P. Waytha Moorthy di Balai Polis Bukit Payung, Marang.

Isu ICERD: Desak lucut jawatan Waytha Moorthy

MARANG: Wanita UMNO Terengganu hari ini membuat laporan polis bagi mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang mencetus polemik perkauman berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Lebih 100 rombongan ahli Wanita UMNO di negeri ini membuat laporan di Balai Polis Bukit Payong, di sini, diketuai Setiausaha Wanita UMNO negeri, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Zaitun yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian Marang, berkata laporan polis itu dibuat supaya tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Waytha Moorthy yang menimbulkan polemik dan kontroversi susulan isu ICERD dicetuskannya.

“Isu ICERD yang dicetuskan oleh Menteri Perpaduan itu dilihat mengakibatkan perpecahan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya di sini, hari ini.

Zaitun berkata, laporan polis itu juga bagi mendesak jawatan Waytha Moorthy dilucutkan selepas beliau sebagai Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) dalam satu video wawancara di Belanda kira-kira 10 tahun lalu mendakwa kononnya masyarakat India di Malaysia didiskriminasi di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Waytha Moorthy turut memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dan hak bukan Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam dinafikan di negara ini.

“Menerusi video berdurasi dua minit 39 saat itu, Waytha Moorty menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik, selain kerajaan BN ketika itu dituduh melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain.

“Wanita UMNO percaya, ucapan Waytha Moorthy dalam video itu berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan dan perasaan tidak suka kepada kerajaan BN ketika itu dan pada masa yang sama, ia menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Zaitun berkata, Wanita UMNO mahu Waytha Moorty disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan,” katanya.

Berita Harian X