Jumaat, 23 November 2018 | 8:05pm
SAIFUDDIN Abdullah. - NSTP/Abd Rahim Rahmat

Kerajaan PH lebih terbuka bincang isu rumit seperti ICERD, LGBT - Saifuddin

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat keputusan bijaksana apabila tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mengambil sikap lebih komited dalam menegak dan melaksana hak asasi manusia termasuk membenarkan serta mengalu-alukan perbincangan secara terbuka.

“Isu hak asasi manusia di Malaysia bukan isu baharu cuma selama ini ia tidak dibawa ke tengah untuk dibincangkan secara terbuka.

“PH memberi peluang kepada rakyat untuk membicarakan mengenai hal-hal rumit seperti isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta terkini, ICERD.

“Dulu tak bincang pun, sekarang kita boleh bincang, soal setuju atau tak setuju itu perkara lain, tapi kita boleh bincang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Integriti 2018 Kementerian Luar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu perdebatan ICERD sedangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD kerana pelaksanaannya memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam konteks ICERD dan hak asasi manusia, ia dilihat oleh pelbagai pihak dalam pelbagai cara.

“Ada yang kata dia nak menegakkan hak asasi manusia, ada yang berbicara mengenai hak asasi manusia dengan menggunakan pendekatan ketuanan Melayu.

“Ada yang mengambil sikap guna pendekatan takutkan orang, ada juga yang mempersoalkan Perkara 153 yang mana kita tidak akan ubah perkara ini.

“Apa yang berlaku, apabila sampai satu tahap, mereka jadi ‘alergik’ dengan ICERD, bila nak bercakap mengenai Perkara 153 pun dia tak nak dengar lagi. Jadi, saya fikir Kabinet gunakan kebijaksanaan untuk tidak meratifikasi ICERD,” katanya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, dilaporkan berkata kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD, dalam suku pertama tahun depan.

Pagi tadi, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, mengumumkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu sekali gus diharapkan akan menamatkan perdebatan berkaitan ICERD dan ketegangan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Berita Harian X