Sabtu, 24 November 2018 | 4:45pm
MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah melawat Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Kuantan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KJ hanya lakukan tugas sebagai pembangkang - Saifuddin

KUANTAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang memintanya meletak jawatan berhubung isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan perkara luar biasa.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, Khairy hanya melakukan tanggungjawabnya sebagai ahli politik pembangkang.

“Biarkanlah… itu tugas pembangkang. Semalam dalam mesyuarat Kabinet isu ICERD sudah dibincangkan dan kerajaan pun tidak akan meratifikasi konvensyen berkenaan.

“Kita melihat semua perkara termasuk pendapat dan cadangan pelbagai pihak. Ada yang memahami kenapa kita perlu meratifikasinya tetapi ada juga yang tidak begitu memahaminya dan menyalah anggap ICERD...Kabinet sudah mengambil keputusan terbaik,” katanya pada media selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasikan ICERD serta memberi jaminan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui oleh wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Khairy dalam akaun Twitternya menulis Saifuddin perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan berikutan membuat kenyataan mendahului keputusan kerajaan berhubung ratifikasi ICERD.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Kabinet lebih prihatin apabila ada pihak yang menjadi emosi dan memainkan sentimen sehingga menakutkan pihak lain.

“Selain ada pihak yang tidak mempunyai pemahaman jelas mengenai ICERD atau kenapa kita perlu meratifikasinya, ada juga yang cuba menakut-nakutkan termasuk mendakwa MARA akan ditutup atau kuasa raja-raja Melayu terjejas.

“Adalah sukar untuk menerangkan kepada mereka yang sudah menetapkan pemikiran mengenai ICERD kerana mereka tidak mahu mendengar dan menjadi ‘alergi’. Jadinya, Kabinet putuskan jalan terbaik tidak meratifikasi ICERD,” katanya.

Menteri Luar itu juga berkata, ada pihak yang sudah menyalah anggap tindakan meratifikasi ICERD daripada beberapa aspek termasuk hak asasi manusia kerana menyalahi agama Islam atau ianya mengikut budaya negara Barat.

“Sebenarnya, agama Islam sentiasa juara berkaitan isu hak asasi dan tidak benar Islam tidak menyokong hak asasi manusia.

“Begitu juga dengan menyalahtafsir mengenai diskriminasi berikutan orang ramai memikir ianya berlaku ketika ada pembunuhan tetapi sebenarnya ia berlaku dalam pelbagai senario… di tempat kerja, tempat awam, kepada individu atau kumpulan atau menggunakan isu perkauman,” katanya.

Justeru, Saifuddin berkata, Kabinet kini akan memberi fokus kepada perkara lain termasuk menghapuskan, meminda dan memperkenalkan undangan-undang baharu.

“Kabinet perlu terus bergerak ke hadapan… mesejnya ialah diskriminasi masih berlaku dan kita perlu menanganinya sebelum terlepas daripada kawalan,” katanya.

Berita Harian X