Sabtu, 24 November 2018 | 5:31pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sebagai panel jemputan di Festival Kesusateraan Georgetown di Bangunan UAB dekat Lebuh Cina, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

Pembangkang perlu kreatif bantah keputusan kerajaan - Anwar

GEORGETOWN: Pembangkang dinasihat supaya menganjurkan perhimpunan untuk membantah sesuatu perkara lebih bermanfaat, berbanding isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan keputusan kerajaan jelas menolak untuk meratifikasi ICERD, selain perhimpunan untuk terus membantah isu itu disifatkan sebagai gimik politik nakal.

“Keputusan kerajaan jelas, kita bincang dan menolak (untuk meratifikasi ICERD). Kalau masih nak buat perhimpunan (membantah ratifikasi ICERD) nyata ia gimik politik nakal sebab kerajaan sudah tolak.

“Dia (pembangkang) nak tolak apa lagi? Masyarakat dan rakyat nak protes, boleh tetapi saya harap biarlah ia kes yang munasabah.

“Saya dulu pun banyak berhimpun. Kita berhimpun tolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960), minta pilihan raya bersih yang bermaksud menolak kezaliman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR hadir sebagai panel jemputan di Festival Kesusateraan Georgetown di Bangunan UAB dekat Lebuh Cina di sini, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media memaklumkan kerajaan sudah memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Susulan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata walaupun PAS menyambut baik keputusan kerajaan itu, himpunan tolak ICERD yang dijadual 8 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang namun format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantah ICERD.

Mengulas kenyataan Lawyers for Liberty yang mempersoal keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD, beliau berkata, pihak berkenaan perlu memahami konteks keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan negara.

“Sudah jelas kita (kerajaan) akan mempertahankan rakyat daripada segala bentuk diskriminasi dan mahu fokus kepada pembinaan institusi,” katanya.

Berita Harian X