Sabtu, 24 November 2018 | 7:31pm
DR Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Lawatan bersama Majlis Tertinggi UMNO Malaysia ke Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Hadir perhimpunan bantah ICERD untuk ucap terima kasih - Zahid

KUALA LUMPUR: Penyertaan UMNO dalam perhimpunan di ibu negara pada 8 Disember ini adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO tidak berhasrat untuk menarik diri daripada menghadiri perhimpunan itu walaupun kerajaan membuat sudah membuat keputusan mengenai ICERD.

“Kita akan ikut rancangan, UMNO akan hadir perhimpunan 8 Disember ini dan ucapkan terima kasih kepada kerajaan tidak akan terus meratifikasi ICERD. Soal permit diberi atau tidak, terpulang kepada penganjur. Kita akan hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Lawatan Presiden UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ke UMNO Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam menyatakan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Mengulas gesaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya perhimpunan aman itu tidak diteruskan, Ahmad Zahid berkata, itu hanya pandangan peribadi bekas Menteri Belia dan Sukan.

“Itu pendapat peribadi beliau. UMNO hadir kerana ia bukan isu politik. Kita hormati pihak penganjur. Kita tetap akan hadir,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan bekerjasama dengan polis yang mahu mengambil keterangannya berhubung ucapannya dalam Himpunan Kebangkitan Ummah di Pasir Salak pada 17 November lalu yang berbaur hasutan.

“Timbalan Ketua Polis negara keluarkan kenyataan semalam, saya orang kesembilan akan dipanggil oleh pihak polis. Apa takut? Saya akan beri keterangan. Saya bukan mencabar mereka, tidak. Takkanlah saya bekas Menteri Dalam Negeri, tak tahu apa boleh cakap, apa yang tak boleh cakap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy patut meletakkan jawatan kerana tidak mampu melaksanakan tugas sebagai menteri perpaduan.

“Sekarang dilantik jadi menteri perpaduan, yang dia buat perpecahan. Kalau tak dapatkan jalankan tugas menteri perpaduan sebaliknya lakukan perpecahan, sila letak jawatan, itu sahaja” katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mempertahankan untuk meratifikasi ICERD hanya kerana menyokong gerakan reformasi.

“Kamu ini orang Islam ke orang apa? Ini bukan soal politik, kita hanya menuntut apa yang dalam Perlembagaan kita mahu pertahankan iaitu Perkara 3 dan Perkara 153,” katanya.

Berita Harian X