Ahad, 25 November 2018 | 11:55am
Jho Low. - Foto Twitter Jho Low

Najib arah pinda audit 1MDB

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, mendedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana ia dianggap kerajaan sebagai satu krisis.

Madinah berkata, dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri, Najib mengarahkan pengguguran perenggan mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan pihak penguat kuasa.

“Selain itu, perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, turut diarah digugurkan pada penyediaan laporan akhir berkenaan.

“Pengguguran perenggan itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh, pada 26 Februari 2016, kepada bekas Pengarah Audit atas alasan ia sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit pembangkang ketika itu,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Madinah berkata, beliau sudah menyampaikan taklimat mengenai pindaan yang diarahkan pentadbiran kerajaan terdahulu terhadap laporan akhir audit 1MDB itu kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu, sebelum diarah mengeluarkan kenyataan media mengenainya .

Beliau berkata, salinan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan itu dibuat sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018,

Menerusi kenyataan medianya juga, Madinah mendedahkan, beberapa insiden membabitkan arahan supaya perenggan tertentu digugurkan atau dipinda dalam laporan akhir terbabit.

Berdasarkan kronologi disediakan pasukan Audit 1MDB Jabatan Audit Negara, beliau berkata, Shukry pada 20 Februari 2016, mengarahkan mereka mengemukakan laporan akhir audit 1MDB untuk dibincangkan bersama Najib.

Menurutnya, pada mesyuarat pada 22 Februari 2016 di pejabat Perdana Menteri, Najib mengarahkan pengguguran perenggan mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguat kuasa.

Sehubungan itu, katanya, pembentangan laporan itu kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Februari 2016 ditangguhkan kepada 4 Mac dan 7 Mac 2016.

Madinah berkata, selain Shukry, mesyuarat itu turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

“Pada 23 Februari 2016, pada mesyuarat di pejabat KSN, pasukan Audit 1MDB dimaklumkan bahawa kerajaan mengkategorikan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebagai satu krisis.

“Seterusnya, pada mesyuarat pada 24 Februari dan hasil perbincangan itu, beberapa perenggan lagi dalam laporan berkenaan telah diarah digugurkan dan dipinda.

“Mesyuarat itu dihadiri oleh Ali, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit,” katanya.

Madinah berkata, pada 25 Februari 2016, pasukan Audit 1MDB diarahkan Ali supaya menghadiri mesyuarat bersama Arul Kanda di pejabatnya bagi meneruskan perbincangan mengenai laporan berkenaan.

Katanya, pada 26 Februari, Shukry mengarahkan bekas Pengarah Audit 1MDB menggugurkan perenggan berkaitan Jho Low, dan pada 28 Februari pula, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Ali meminta laporan yang dipinda itu diserahkan kepada beliau.

“Pada 29 Februari 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sudah dipinda diserahkan kepada Ali.

“Pada 1 Mac 2016, Ali kemudian mengarahkan pasukan Audit 1MDB sekali lagi hadir ke pejabat beliau untuk membincangkan semula laporan akhir yang sudah dipinda.

“Pada sesi itu, Arul Kanda hadir dan menyemak semula laporan berkenaan secara terperinci bersama pasukan audit dan meminta dibuat beberapa perubahan (gugur/pinda) lagi,” katanya.

Madinah berkata pada 2 Mac 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dicetak dan seterusnya pada 3 Mac dua naskhah laporan itu diserahkan bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali, sebelum Ambrin membentangkan laporan itu di hadapan PAC pada 4 dan 7 Mac 2016.

Berita Harian X