Ahad, 25 November 2018 | 3:24pm
PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman. - Foto Ghazali Kori

DUN Terengganu tolak ICERD

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan usul menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Usul tergempar itu dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan mendapat sokongan ahli dewan tanpa dibahaskan.

Muhammad Khalil dalam pembentangan usul itu, berkata isu ICERD membabitkan pencabulan kontrak sosial yang sudah dipersetujui semua kaum, selain kepentingan orang ramai apabila membabitkan isu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata, usaha meratifikasi ICERD juga menyentuh pelanggaran kedaulatan institusi istana membabitkan perkara berkaitan agama Islam dan hak istimewa Melayu.

“Kita perlu menolak sebarang usaha Putrajaya untuk menandatangani ICERD dan mengutuk segala usaha yang dilakukan bagi meratifikasikan ICERD.

“Ia adalah langkah ke belakang, membahayakan masa depan negara dan boleh mencetuskan menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya pada sidang DUN di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia tiada keperluan untuk menandatangani konvensyen ICERD kerana negara sudah menunjukkan kepada dunia keunikan formula Malaysia, iaitu kontrak sosial yang dimeterai ketika kemerdekaan negara pada 1957.

Katanya, Malaysia tidak pernah mengamalkan dasar menindas agama dan bangsa lain, walaupun Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan.

“Rusuhan kaum pada 1969 ditangani dengan baik, tanpa menzalimi bangsa atau agama tertentu.

“Akhirnya, Malaysia dikenali di persada dunia sebagai negara yang unik kerana rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat majmuk berjaya hidup berganding bahu, harmoni, saling hormat menghormati dan tidak memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing menggunakan medium keganasan terhadap kaum yang lain.

“Sepatutnya belajar dengan kita mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia dan menguruskan kepelbagaian bangsa dan agama. Malangnya dengan menandatangani ICERD, kita pula meminta PBB mengajar kita. Negara seperti Israel dan Myanmar sepatutnya digesa untuk menandatangani ICERD, bukan Malaysia.

“Mengenai hak istimewa orang Melayu dan kuota khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang tertentu, ia bukanlah bertujuan menindas kaum lain, tetapi bagi menjadikan Melayu dan Bumiputera dapat berkongsi kek kekayaan ekonomi negara dengan adil, ” katanya.

Beliau berkata, langkah menerima deklarasi ICERD menunjukkan tindakan terdesak Putrajaya tunduk kepada desakan melampau daripada ahli politik yang mewakili kaum tertentu dalam parti pemerintah, sehingga sanggup menceroboh kontrak sosial dan merosakkan kepercayaan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Muhammad Khalil berkata, beliau mengambil maklum pendirian Pejabat Perdana Menteri untuk tidak meratifikasi ICERD dan mengambil maklum, kenyataan susulan daripada menteri yang masih kabur dan membimbangkan.

“Dengan ini, saya mengusulkan dewan yang mulia ini menerima usul ini untuk dirundingkan, sekali gus menolak sebarang usaha Putrajaya untuk menandatangani ICERD walaupun dengan membuat ratifikasi,” katanya.

Berita Harian X