Ahad, 25 November 2018 | 7:25pm

Pembiayaan mikro Agro Nisaa'-i untuk wanita

SERDANG: Usahawan tani wanita berpeluang untuk mendapat pembiayaan mikro sehingga RM30,000 menerusi skim Agro Nisaa’-i yang dikhususkan untuk golongan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata inisiatif kerajaan menerusi Agrobank itu, digerakkan melalui pembentukan kumpulan lima ahli dengan berpeluang berkongsi tips perniagaan selain bimbingan daripada pegawai bank berkenaan.

Katanya, pinjaman khusus kepada usahawan mikro itu berupaya membantu meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi, apatah lagi dipantau pegawai bank yang bertindak sebagai pembimbing.

“Kemudahan pinjaman boleh mengeluarkan wanita daripada belenggu kemiskinan dan memperbaiki ekonomi mereka.

“Wanita memiliki keupayaan dan kesungguhan, justeru bantuan berupa pinjaman bagaikan suatu laluan kepada mereka untuk maju dan membina masa depan lebih baik.

“Saya lihat di mana-mana, wanita patuh membayar. Malah kajian Bank Dunia, 97 peratus wanita membayar balik pinjaman.

“Ini menunjukkan mereka memiliki komitmen tinggi. Lebih daripada itu kita mahu menggalakkan wanita untuk lebih serius dalam bidang yang secara langsung meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi mereka walaupun secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran program pembiayaan mikro Agro Nisaa’-i sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa 2018 (MAHA 2018) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan.

Salahuddin berkata, beliau yakin dengan kemudahan dan sikap wanita itu sendiri, matlamat skim berkenaan akan dimanfaatkan dengan baik.

Sementara itu, Syed Alwi yang juga Presiden Agrobank berkata, skim berkenaan menggabungkan tiga konsep utama iaitu pembinaan asas disiplin kredit, pengeluaran pembiayaan berterusan dan pemantauan konsisten serta sistematik.

Katanya, menerusi konsep itu, usahawan terbabit program pembiayaan mikro Agro Nisaa’-i akan dibimbing oleh pegawai Agrobank berhubung pengurusan kewangan, perbelanjaan dan khidmat nasihat lain sejajar dengan peranan dimandatkan Bank Negara Malaysia buat Agrobank dalam menyediakan kemudahan kewangan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan, khususnya B40.

“Kami berharap menerusi pembiayaan ini, dapat membantu untuk meningkatkan taraf hidup usahawan wanita terutamanya golongan B40,” katanya.

Selain pembiayaan maksimum sehingga RM30,000 dan kadar efektif serendah 8.31 peratus , agropreneur wanita yang menyertai program ini turut mendapat pelan perlindungan takaful kemalangan diri selama setahun.

Pada majlis sama, Agrobank turut menyampaikan biasiswa kepada lima pelajar daripada universiti tempatan untuk Program Anugerah Biasiswa Agrobank 2018 (SAP).

Program itu terbuka kepada pelajar Malaysia yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi tempatan.

Ia bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan di dalam kategori B40.

SALAHUDDIN Ayub diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan (kiri) menyampaikan anugerah biasiswa kepada pelajar IPTA pada majlis pelancaran Agro Nisaa' di MAEPS. - NSTP/Saifullizan Tamadi
SALAHUDDIN Ayub diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan (kiri) menyampaikan anugerah biasiswa kepada pelajar IPTA pada majlis pelancaran Agro Nisaa' di MAEPS. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X