Isnin, 26 November 2018 | 4:27pm
AMBRIN Buang

Ambrin beri keterangan kepada SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Semalam, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, mendedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB kerana ia dianggap kerajaan sebagai satu krisis.

Madinah dilaporkan berkata, dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri, Najib mengarahkan pengguguran perenggan mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan pihak penguat kuasa.

"Selain itu, perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, turut diarah digugurkan pada penyediaan laporan akhir berkenaan.

"Pengguguran perenggan itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh, pada 26 Februari 2016, kepada bekas Pengarah Audit atas alasan ia sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit pembangkang ketika itu," katanya.

SPRM, dalam satu kenyataan semalam turut berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan isu itu dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X