Selasa, 27 November 2018 | 2:28pm
BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Ariffin. - Foto Salhani Ibrahim

'Saya tidak tahu-menahu'

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Ariffin, mendakwa tidak mengetahui berlaku pindaan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin, berkata ketika bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, membentangkan laporan itu kepada PAC pada Mac 2016, pihaknya menganggap ia adalah laporan penuh audit 1MDB yang lengkap.

Bagaimanapun, Hasan berpegang kepada kenyataan terbaharu Ambrin yang menafikan dakwaan ada mengubah laporan asal 1MDB.

“Saya tidak tahu-menahu. Apa yang Tan Sri Ambrin cakap (nafi ubah laporan), itulah. Apa yang Tan Sri Ambrin bawa ke PAC, itulah laporannya.

“Kita tak tahu (ada pindaan atau tidak). Kita anggap apa yang dibentangkan itulah laporannya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB kerana ia dianggap kerajaan ketika itu sebagai satu krisis.

Antara pindaan yang didakwa diarahkan Najib termasuk perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada penyediaan laporan akhir berkenaan.

Semalam, Ambrin dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, mendedahkan laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1MDB dipinda atas arahan individu tertentu, namun Ambrin menafikan dakwaan itu.

Hasan dilantik sebagai Pengerusi PAC pada 19 Oktober 2015 bagi menggantikan bekas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 28 Julai 2015.

Berita Harian X