Selasa, 27 November 2018 | 2:33pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Asyraf Hamzah

Hutang isi rumah 83.2 peratus

KUALA LUMPUR: Tahap hutang isi rumah pada 2019 dijangka kekal terkawal selaras pendapatan yang lebih stabil.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah hutang isi rumah sebagai nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat 83.2 peratus pada akhir September 2018 berbanding 83.8 peratus pada akhir tahun lalu.

Katanya, sejumlah besar daripada hutang isi rumah adalah untuk pengumpulan harta kekayaan seperti membeli kediaman (52.8 peratus), bukan kediaman (6.8 peratus) serta pelaburan dalam dana simpanan (5.7 peratus).

“Median nisbah khidmat hutang (DSR) keseluruhan bagi pembiayaan terkumpul adalah 32 peratus namun, masih ada peminjam yang mempunyai kedudukan kewangan lemah.

“Sejumlah 6.5 peratus daripada keseluruhan peminjam mempunyai margin kewangan negatif dan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, malah memiliki DSR melebihi 60 peratus.

“Justeru, antara langkah diambil kerajaan untuk mengurangkan beban ditanggung isi rumah menerusi memupuk amalan kredit yang bertanggungjawab dalam kalangan individu dan institusi kewangan.

“Ini turut termasuk mengelak isi rumah daripada berhutang secara berlebihan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasan Ariffin (BN UMNO-Rompin) berhubung kadar hutang isi rumah berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut melaksanakan program bagi memupuk kesedaran serta kemahiran pengurusan kewangan.

“Sejak 2011 sehingga September lalu, seramai 204,000 pengguna sudah menyertai program Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) manakala lebih 243,000 peminjam turut menyertai Program Pengurusan Hutang.

“Selain itu, kerajaan tidak merancang untuk melaksanakan Cukai Durian Runtuh (Windfall Tax), sebaliknya kita maklumkan kepada Bank Negara bahawa perlu ada kelonggaran bagi memudahkan pinjaman dalam kalangan pembeli rumah mampu milik.

“Justeru, kita tetapkan kadar faedah sebanyak 3.5 peratus dan melanjutkan tempoh pinjaman daripada lima ke 40 tahun bagi memudahkan peminjam,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Hasan berhubung sama ada kerajaan akan melaksanakan Cukai Durian Runtuh.

Berita Harian X