Rabu, 28 November 2018 | 8:30am
GAMBAR fail, suasana di base camp Gunung Everest yang dikirim pendaki UTM pada Mei 2015. - Foto Azim Afif Ishak

Pendaki gunung kongsi pengalaman getir tawan Everest

PADANG BESAR: “Jika nak buat, buat sampai habis.” Itu kata-kata keramat arwah ibu kepada bekas pendaki negara, Azim Afif Ishak, yang menyuntik semangatnya untuk menawan puncak Everest pada 2016.

Pemuda berusia 29 tahun itu berkongsi pengalaman getir sebelum tiba ke puncak dunia dalam Misi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Everest-Tibet 2016.

Beliau menjalani latihan fizikal membina kekuatan otot kaki dan bebanan spesifik selama tiga tahun bagi memenuhi keyakinannya untuk menawan puncak tertinggi dunia itu.

Menurutnya, perjalanan menuju puncak itu bukan mudah malah dua kali misi terpaksa ditangguhkan kerana rintangan runtuhan salji pada 2014 dan gempa bumi pada 2015.

Bagaimanapun kegigihan dan ketabahan itu berbayar apabila misi pada 2016 telah membawanya ke puncak bersalji setinggi 8,848 meter itu.

“Saya bersyukur kerana hanya mengalami gigitan fros sedangkan ada pendaki yang mati sebelum sempat menawan puncak disebabkan serangan penyakit altitud,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BERNAMA.

GAMBAR fail, pendaki UTM Everest Azim Afif Ishak ditemuramah wartawan ketika tiba di Balai Ketibaan KLIA2. Lima orang Pendaki Everest UTM selamat tiba KLIA2 berikutan rentetan gempa bumi yang melanda Nepal pada Mei 2015. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Menurut pemuda berasal dari Kulim, Kedah itu, kebiasaannya pendaki menerima serangan penyakit itu di Banjaran Himalaya, Nepal.

Berkongsikan pengalaman mencabarnya, beliau berkata terdapat kira-kira 200 mayat dilaporkan dalam keadaan baik yang masih berada di gunung itu yang tidak diturunkan.

Beliau yang mendaki melalui Tibet menemui mayat berbaju biru ketika hampir tiba ke puncak Everest.

Menjadi kebiasaan, beliau berkata, mayat pendaki yang tidak mempunyai sebarang insurans tidak boleh dibawa pulang namun permohonan untuk mengambil barangan peribadi oleh ahli keluarga pendaki boleh dilakukan melalui syarikat pengendali pendakian.

Mengimbau percubaan sulung pada 2014, misi tersebut gagal disebabkan runtuhan salji di Ice Fall, menyebabkan 16 orang pendaki daripada kumpulan lain terkorban.

Kejadian itu menyebabkan Everest buat kali pertama dalam sejarah, ditutup untuk sebarang kegiatan pendakian dan tahun itu digelar tahun hitam.

Beliau dan empat lagi rakannya terpaksa pulang ke tanah air kerana akur pendakian tidak dapat dilakukan pada tahun berkenaan.

Berdasarkan maklumat seorang sherpa yang berjaya menyelamatkan diri ke khemah Malaysia, ada sherpa yang terbunuh dan badannya hampir putus dalam kejadian mengerikan itu.

Misi pendakian pada 2015, mereka sekali lagi diuji dengan kejadian gempa bumi 7.9 pada skala Richter di Everest Base Camp menyebabkan 18 pendaki terbunuh di Everest.

Beliau dan dua lagi rakannya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian gempa yang dilaporkan turut meragut kira-kira 10,000 penduduk Nepal.

“Kami melaungkan azan di saat itu dan bersedia untuk mati tetapi amat bersyukur kerana Allah panjangkan umur kami, katanya.

Menerusi misi itu, Azim Afif berkata tujuan utama adalah untuk membuat penyelidikan terhadap kapasiti jenis darah atau haemoglobin sesuai untuk mendaki Everest.

Sebagai motivasi kepada masyarakat luar khususnya para pendaki, persediaan rapi hendaklah dilakukan sebaiknya.

“Jangan jadikan pendakian sebagai perlumbaan dan terlalu mengejar puncak, gunung tetap di situ tidak berganjak, yang berganjak hanyalah nyawa kita,” katanya sebagai pesanan agar lebih berhati-hati.

Sebelum itu beliau diundang khas untuk menceritakan pengalamannya sebagai pendaki gunung pada program ‘The Art of Hammocking and Together Fight Against TB’ anjuran Santai Hikers Utara, MAPTB Negeri Perlis di Kampung Bukit Jernih dekat sini.

– BERNAMA

Berita Harian X