Rabu, 28 November 2018 | 3:23pm
MUHYIDDIN mengadakan sidang media khas di Putrajaya, hari ini berhubung isu pergaduhan yang tercetus di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, kelmarin. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Buat doa selamat di masjid saja - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Tidak perlu buat himpunan bantahan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), cukup dengan majlis kesyukuran di masjid, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, kerajaan sudah membuat keputusan muktamad untuk tidak meratifikasi ICERD, justeru tiada keperluan perhimpunan seumpama itu diadakan.

“Keputusan kerajaan muktamad dan kita kena hormat. Jadi apa tujuan hendak ada perhimpunan yang asalnya untuk membantah kemudian ditukar balik menjadi perhimpunan kesyukuran.

“Bersyukur tidak perlu buat perhimpunan begitu... buat doa selamat di masjid, doa negara aman tenteram dan Alhamdulillah tiada ratifikasi. Itu lagi molek sebab yang hendak buat itu sebahagian besar mereka adalah orang Islam dan pertubuhan yang perjuangkan Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan UMNO dirancang di ibu negara pada 8 Disember ini bagi meraikan kejayaan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sekiranya pihak yang berkaitan tetap mahu meneruskan himpunan terbabit, mereka perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman.

“Nasihat saya tidak perlu perhimpunan sebab hendak buat (perhimpunan) itu mahal, kena beli baju T dan macam-macam perbelanjaan. Jadi lebih elok jimat duit belanja perkara lain.

“Tapi kalau berdegil hendak masih berjuang tentang ICERD, kita lihat Akta Perhimpunan Aman, mereka kena patuh peraturan sedia ada. Kalau patuh kita kena luluskan. Kalau tiada lebih baik,” katanya.

Berita Harian X