Jumaat, 30 November 2018 | 4:08pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan dana untuk Tabung Rakyat Palestin di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, hari ini. - Foto Abd Rahim Rahmat

Beban hutang tidak halang usaha bantu Palestin - TPM

PUTRAJAYA: Bebanan hutang negara tidak akan menghentikan usaha kerajaan untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada rakyat Palestin yang menderita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata masih ada ruang yang boleh diusahakan dalam membantu rakyat di negara bergolak itu.

“Memang kita tidak henti memberi sumbangan. Walaupun sekarang ini kita hadapi kekangan, sedikit masalah berkaitan hutang negara, kita mesti menangani masalah kita dahulu sebelum mahu menolong orang.

“Namun kita masih mempunyai ruang yang boleh kita ketengahkan untuk menolong mereka kerana mereka memerlukan, situasi di Tebing Barat lebih parah daripada keadaan kita di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan dana untuk Tabung Rakyat Palestin di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Rose Lena Lazemi.

Selain itu Dr Wan Azizah berkata, sejumlah RM500,000 dana yang dikumpul melalui kempen Yayasan Kebajikan Negara-Tabung Rakyat Palestin diserahkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, setakat ini dana yang berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai dan syarikat korporat adalah sebanyak RM737,054, sejak pelancaran kempen berkenaan pada Julai lalu.

“Selain itu melalui dana yang sama kita turut menyerahkan sumbangan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa peperangan dan menjadi pelarian di Tebing Barat dan Gaza.

“Kita menyasarkan kutipan untuk dana ini akan meningkat kepada RM1 juta sehingga penghujung tahun ini,” katanya.

Berita Harian X