Jumaat, 30 November 2018 | 7:20pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

NCWR tangani isu kanak-kanak terbantut, obes - TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan dalam proses membangunkan Peta Laluan Kesejahteraan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCWR) bagi menangani isu Isu kanak-kanak terbantut dan berlebihan berat badan atau obes, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia susulan laporan Children Without oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) UNICEF, Februari lalu yang membangkitkan isu kanak-kanak terbantut dan obes dengan memfokuskan kepada kanak-kanak di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Selain itu beliau berkata, kerajaan turut mengambil berat isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak yang dibangkitkan dalam Global Nutrition Report 2018 yang menekankan isu kanak-kanak terbantut, masalah peningkatan penyakit anemia dalam kalangan wanita dan masalah obesiti.

Katanya, di samping kemiskinan, faktor lain yang menyebabkan keadaan itu ialah gaya hidup serta corak pemakanan yang tidak sihat.

“Peta laluan ini dibangunkan kerana kerajaan menyedari bahawa isu yang diketengahkan dalam Laporan UNICEF itu bukanlah hanya membabitkan kanak-kanak di PPRT.

“Peta laluan ini juga bertujuan menangani masalah pokok dan bukan simptom sahaja. Ia merangkumi intervensi asas, intervensi pencegahan, dan intervensi reaktif.

“Perancangan ini masih dalam proses konsultasi antara agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata langkah seterusnya adalah konsultasi bersama badan bukan kerajaan (NGO), kementerian yang terbabit dan seterusnya sesi town hall dengan masyarakat umum dalam masa terdekat.

“Konsultasi bersama kumpulan sasar juga penting supaya mereka terbabit sama dalam pembentukan peta laluan ini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pada masa sama, kerajaan akan meneruskan usaha sedia ada, termasuk Pelan Tindakan Pemakanan Malaysia (NPANM) 2016 – 2025 yang juga NPANM siri ketiga yang dilancarkan Kementerian Kesihatan.

“Pelan tindakan ini adalah komitmen berterusan kerajaan untuk mencegah dan mengawal masalah pemakanan dalam kalangan penduduk negara.

“Komitmen ini mempunyai tiga objektif utama iaitu untuk meningkatkan status pemakanan penduduk, mengurangkan penyakit tidak berjangkit dan memastikan jaminan kebolehdapatan makanan.

“Kanak-kanak adalah masa hadapan negara, justeru kerajaan memandang serius perkara ini dan akan memastikan langkah sewajarnya diambil untuk menangani masalah ini,” katanya.

Menerusi Tinjauan Kebangsaan Institut Kesihatan Awam 2016 melaporkan Kelantan yang dianggap antara negeri termiskin, mencatatkan sebanyak 34 peratus kanak-kanak terbantut.

Terengganu sebagai antara negeri yang terkaya pula mencatatkan sebanyak 26 peratus kanak-kanak terbantut diikuti Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan di kedudukan ketiga iaitu sebanyak 24 peratus.

Ini menunjukkan bahawa kekurangan zat makanan tidak hanya disebabkan oleh kemiskinan tetapi faktor lain yang memerlukan perhatian kerajaan.

Berita Harian X