Sabtu, 1 Disember 2018 | 3:49pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini. - Foto BERNAMA

Inovasi teknologi mampu rancakkan sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Masa depan pertanian dapat ditingkatkan menerusi teknologi dan inovasi baharu yang boleh menjana pendapatan usahawan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya akan bertemu dengan wakil Kementerian Pertanian untuk mencari jalan bagi membantu petani.

“Saya akan bincang bagaimana kita boleh beri sokongan kepada peladang, petani, penternak dan nelayan, sekali gus meningkatkan produktiviti mereka.

“Menerusi bantuan teknologi baharu dan suntikan modal, pengusaha dapat membantu meluaskan lagi sektor pertanian di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa lebih empat jam melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pameran berkenaan membuktikan produk tempatan bukan sahaja berkualiti, malah berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya berpeluang bertemu dengan usahawan yang terbabit dalam sektor pertanian dan percaya pameran ini membuka ruang kepada peladang serta penternak untuk mempromosikan produk mereka.

“Dengan sokongan kerajaan dan industri berkaitan, kita percaya sektor ini boleh menyumbang kepada ekonomi dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

Berita Harian X