Ahad, 2 Disember 2018 | 11:21am
MENTERI Besar, Datuk Osman Sapian. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Johor tolak ICERD

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor berikrar untuk menolak perundangan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata ia termasuk menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menjadi kerisauan orang Melayu.

“Pendirian kerajaan negeri Johor mudah, dengan keunikan dan asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan Malaysia tidak perlu untuk meratifikasikan ICERD atau meratifikasikan mana-mana konvensyen antarabangsa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2019 Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Terdahulu, Osman (PH-Kempas) menjawab lima soalan termasuk Samsolbari Jamal (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN-Rengit); Datuk Hasni Mohammad (BN-Benut); Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-layanh) mengenai isu ICERD.

Osman berkata, kerajaan negeri sedia maklum bahawa isu berkaitan ICERD ini sudah selesai.

Malah katanya, Kerajaan Persekutuan juga sudah mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasikan ICERD.

“Permintaan saya ialah, jangan politikkan lagi isu ini dan akhirnya membawa perpecahan antara satu sama lain,” katanya.

Osman yang menjawab soalan secara bersekali berkata, ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang mewarisi asas penting daripada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 dan dahulunya Magna Carta 1215.

“Secara sejarahnya, definisi hak asasi ini dibentuk berpandukan corak pemahaman Barat. Walaupun banyak negara menandatangani ICERD tetapi masih terdapat banyak negara belum meratifikasikannya,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia antara negara terawal menentang dasar apartheid di Afrika Selatan secara terbuka bahkan pelopor keamanan ketika penyembelihan kaum di Serbia, Kosovo dan Rohingya.

“Hak asasi yang diperjuangkan ini adalah menjadi acuan Malaysia yang sangat unik kerana ia mengiktiraf beberapa perkara, yang pada skala ICERD adalah satu diskriminasi, tetapi pada skala Malaysia, adalah satu rahmat bertunjangkan kontrak sosial.

“Dengan keunikan Perlembagaan Persekutuan negara ini, kita sudahpun bebas konflik dan pertumpahan darah kecuali tragedi yang pernah berlaku pada 13 Mei,” katanya.

Berita Harian X