Ahad, 2 Disember 2018 | 2:57pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kanan) bersama Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Penutup Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa di MAEPS, Serdang. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Akta Pembaziran Makanan mungkin digubal - TPM

SERDANG: Akta Pembaziran Makanan bakal diwujudkan dalam usaha kerajaan menangani isu pembaziran makanan yang berleluasa di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan yakin jika pembaziran makanan dapat dikurangkan secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Saya menganjurkan masyarakat supaya mengelakkan tabiat pembaziran makanan. Secara purata rakyat Malaysia membuang satu kilogram makanan setiap hari.

“Jangan membazir...ini mesej yang hendak saya sampaikan (bahawa) kerajaan sedang mengkaji dengan teliti keperluan menggubal Akta Pembaziran Makanan daripada pelbagai sudut.

“Sekiranya pembaziran makanan dapat dikurangkan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018, di sini, hari ini.

.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, dan Timbalannya, Sim Tze Tzin.

Dr Wan Azizah berkata, pada masa sama, beberapa langkah lain turut dipertimbangkan seperti mengenakan denda kepada pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan.

“Kita juga mempertimbangkan langkah termasuk Program Food Bank Malaysia yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mana lebihan makanan yang diperoleh daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Program ini dijangka akan dilaksanakan di seluruh negara pada awal tahun hadapan,” katanya.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Menteri Perdagangan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia turut menggesa diwujudkan akta berkenaan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut mengusulkan supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan pertanian organik tanpa penggunaan bahan kimia demi kesihatan.

Katanya, beliau tertarik dengan industri penanaman lada hitam di Julau, Sarawak yang menggunakan bahan kimia minimum sehingga mampu menghasilkan lada hitam berkualiti tinggi.

“Sekarang ini saya lihat pertanian di negara ini menggunakan banyak baja dan racun. Kita perlu berbalik kepada pertanian organik, melihat kepada (aspek) kesihatan dan apa kesan buruk kalau ada terlampau banyak bahan kimia ini.

“Apakah Malaysia boleh melaksanakan pertanian organik ini? Ini yang saya lontarkan kepada kementerian untuk memikirkannya. Saya difahamkan lada hitam dihasilkan di Julau, Sarawak berkualiti tinggi dan kurang penggunaan racun perosak, malah dibeli oleh Jepun dan Australia. Kita mampu melaksanakannya,” katanya.

Dalam ucapannya Timbalan Perdana Menteri turut berharap bahawa MAHA ini tidak menjadi sekadar satu pameran semata-mata.

“Seiring dengan konsep MAHA kali ini, pengunjung sewajarnya memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam memajukan aktiviti agromakanan.

“Pameran kejayaan petani, penternak dan nelayan serta usahawan industri asas tani seharusnya menjadi inspirasi untuk mereka menceburi bidang keusahawanan pertanian.

“Tampilkan kejayaan usahawan tani sehingga ke peringkat antarabangsa diharapkan dapat menangkis persepsi negatif terhadap bidang agromakanan dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh diterokai sebagai sumber rezeki dan yang menjana ekonomi negara,” katanya.

Berita Harian X