Ahad, 2 Disember 2018 | 3:04pm
PRESIDEN PERKASA, Datuk Dr Ibrahim Ali (tengah) bercakap pada perhimpunan Jihad Perkasa di Jalan Raja Alang, hari ini. - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
PRESIDEN PERKASA, Datuk Dr Ibrahim Ali (tengah) bercakap pada perhimpunan Jihad Perkasa di Jalan Raja Alang, hari ini. - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

PERKASA minta Dr Mahathir bertegas

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Dr Ibrahim Ali, meminta Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan berkaitan desakan masyarakat Melayu terhadap peletakan jawatan P Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).

Ibrahim berkata, Perdana Menteri wajar mengambil keputusan untuk memecat Waytha Moorthy bagi memastikan menteri itu tidak terus mencalarkan imej kerajaan kerana didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan menggugat keharmonian kaum.

“Saya kenal Dr Mahathir, beliau seorang pemimpin yang tegas dalam semua perkara, namun saya terkejut selepas perdana menteri melantik Waytha Moorthy sebagai menteri.

“Beliau dilantik sebagai menteri kononnya sebagai hadiah kerana memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu.

“Akibatnya, nama Malaysia dicemarkan di luar negara, menteri itu juga keluarkan kenyataan berkaitan insiden kuil dengan mengatakan polis lambat bertindak.

“Saya desak Dr Mahathir mengambil langkah tegas dalam hal ini,” katanya pada sidang media Himpunan Jihad PERKASA, di pekarangan sebuah hotel sekitar Jalan Raja Alang, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 100 ahli PERKASA berkumpul secara aman sambil memegang sepanduk ‘Bumi Ini Milik Melayu Jangan Dipijak Orang’ dan ‘Di Mana Bumi Berpijak Di Situ Langit Dijunjung’ sambil melaungkan takbir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X