Isnin, 3 Disember 2018 | 3:24pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kerajaan rumus rang undang-undang kesamarataan jantina - TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia komited bagi menjamin wanita memperoleh hak asasi manusia dan kebebasan asas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, berkata dalam menzahirkan komitmen itu, kerajaan sedang berusaha ke arah merumus satu rang undang-undang kesamarataan jantina sebagai pelaburan kepada negara dalam banyak peringkat.

“Komitmen ke arah meningkatkan wakil kepimpinan wanita dalam kerajaan jelas terbukti dengan sejumlah perlantikan menteri-menteri kabinet kanan.

“Pada masa sekarang, kita mempunyai lima menteri wanita (17.86 peratus) daripada 28 menteri dan empat Timbalan Menteri wanita (14.81 peratus) daripada 27 Timbalan Menteri,” katanya ketika berucap merasmikan ‘The Big Tulip Summit - Women in Business, Industry and Government Programme’ di sini selama dua hari mulai hari ini.

Program bertema ‘The Power of Purpose, Positivity and Resilience’ itu dianjurkan oleh Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Wan Azizah berkata, buat masa sekarang, di Malaysia terdapat 32 wanita (14.41 peratus) daripada 222 menteri di Parlimen dan 13 wanita (19.4 peratus) daripada 67 orang dalam Senat, peningkatan peratusan wanita dalam politik akan dapat menjamin ramai lagi suara wanita diwakili pada peringkat tertinggi dalam membuat keputusan di negara ini.

Dasar Kebangsaan mengenai Wanita dan Pelan Tindakannya juga memaparkan komitmen kerajaan untuk memastikan penyertaan wanita bagi mencapai potensi penuh mereka dalam perancangan dan pembangunan negara ini, tambah beliau.

“Oleh itu, saya menggesa semua pemimpin wanita ‘maju ke hadapan’ dan beri semula kepada masyarakat.

Sama-samalah kita menggerakkan agenda wanita untuk mempunyai lebih ramai wanita sebagai anggota lembaga pengarah yang dihormati lagi berjaya dan bertindak sebagai mentor serta jurulatih,” katanya.

Wan Azizah berkata, ini boleh mengubah kehidupan wanita miskin bandar dan menangani masalah sosial yang menjejaskan wanita.

Mengenai Big Tulip Summit, beliau berkata, program yang diadakan itu menjadi pentas yang baik kepada peserta dalam menyalurkan keperluan dan pengalaman bagi meningkatkan pembangunan kerjaya dan jati diri.

Kerajaan menyokong inisiatif masa hadapan oleh UUM yang sejajar dengan dasar kerajaan untuk memaju dan mengukuhkan peranan wanita dalam masyarakat, kata beliau mengakhiri ucapannya.

Ketika ditemui pemberita, Dr Wan Azizah enggan membuat sebarang komen apabila ditanya mengenai laporan media semalam berhubung 52 peserta yang mengikuti kursus khas untuk menjadi Pegawai Pentadbir dan Diplomatik (PTD) digugurkan daripada program itu.

Dr Wan Azizah berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Satu berita dalam portal melaporkan bahawa peserta yang digugurkan itu termasuk empat pekerja kontrak yang kini menganggur dan 48 pegawai awam yang dipaksa kembali kepada jawatan lama masing-masing.

Pembatalan kontrak itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus bagi program Lepasan Ijazah untuk Diploma Dalam Pentadbiran Awam. - BERNAMA

Berita Harian X