Isnin, 3 Disember 2018 | 4:23pm
Keadaan banjir di Pantai Timur. - Gambar hiasan
Keadaan banjir di Pantai Timur. - Gambar hiasan

Projek pemulihan pasca banjir 3 negeri banyak kelemahan

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 mendedahkan terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan Projek Pemulihan Pasca Banjir Institusi Pendidikan tahun lalu.

Antaranya, penentuan sekolah yang memerlukan pembaikan atau penggantian aset; pengurusan projek belum mencapai tahap kecekapan optimum; perolehan penggantian aset/peralatan dan buku teks kurang cekap serta pembekalan aset/peralatan dan buku teks yang berlebihan.

Menurut laporan itu, 382 sekolah terbabit banjir tahun lalu di enam negeri iaitu di Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah, Johor dan Perak, dengan keseluruhan RM224.54 juta diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi projek itu sehingga 2017.

"Sebanyak RM220.40 daripada jumlah peruntukan itu sudah dibelanjakan untuk projek berkenaan dan sampel audit dilakukan di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Bagi tiga negeri ini, pembaikan kerosakan sebenar dilaksanakan di 1,129 sekolah berbanding 1,011 unit yang diluluskan. Penggantian sebenar aset/peralatan pula membabitkan 864 sekolah berbanding 727 yang diluluskan manakala penggantian buku teks membabitkan 286 sekolah.

"Walaupun bilangan sebenar sekolah ini melebihi kelulusan KPM, pihak Audit mendapati wujud kelemahan dalam proses penentuan sekolah yang memerlukan pembaikan atau penggantian.

"Ini menyebabkan ada kerja pembaikan dijalankan di sekolah yang tidak disenaraikan oleh KPM, malah ada sekolah yang sepatutnya dilaksanakan pembaikan dan penggantian peralatan tidak menerimanya," dedah laporan itu.

Menurut laporan itu, keadaan itu menjejaskan objektif projek pemulihan pasca banjir di tiga negeri terbabit, namun secara keseluruhannya, peruntukan disalurkan membolehkan sekolah beroperasi semula dan memulakan penggal persekolahan baharu pada tarikh yang ditetapkan.

Sementara itu, antara penemuan utama Audit berdasarkan sampel kajian, termasuk pembaikan terhadap kerosakan akibat banjir di dua sekolah tidak dilaksanakan manakala kerosakan di sebuah sekolah tidak dibaiki sepenuhnya.

Selain itu, 12 kerja pembaikan dibuat di enam sekolah terhadap kerosakan bukan disebabkan banjir membabitkan RM1.09 juta; 467 daripada 3,199 item aset digantikan dengan kos RM136,166 walaupun sekolah tidak membuat permohonan dan 26,021 naskhah buku teks bernilai RM251,349 digantikan di empat sekolah walaupun tiada kerosakan/tidak diperlukan.

"Laporan pelaksanaan perolehan secara darurat pula tidak disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri serta Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) menyebabkan KPM tidak mengemukakan laporan kepada Kementerian Kewangan seperti ditetapkan dalam Arahan Perbendaharaan 173.2," menurut laporan itu.

Bagi mengatasi kelemahan terbabit, pihak Audit mengesyorkan KPM perlu mengkaji semula garis panduan, prosedur kerja dan peraturan berkaitan pelaksanaan projek pemulihan pasca banjir merangkumi semua aspek.

"Ini termasuk memperjelas kriteria dan skop kerja serta memperincikan prosedur kerja dan juga format pelaporan seragam mengikut kriteria keperluan darurat.

"Selain itu KPM mesti mewujudkan mekanisme pemantauan yang jelas dan terperinci pada semua peringkat termasuk negeri, daerah dan sekolah bagi memastikan projek pemulihan pasca banjir dapat diuruskan dengan cekap,” menurut laporan itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X