Isnin, 3 Disember 2018 | 9:04pm
TAN Sri Dr Madinah Mohamad - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
TAN Sri Dr Madinah Mohamad - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

298 syor tambah baik dalam Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR: Sebanyak 298 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang merangkumi teguran dan pandangan bagi tujuan penambahbaikan kepada kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan badan berkanun peringkat Pusat dan negeri.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, berkata laporan itu merangkumi 83 syor terhadap kementerian atau jabatan dan badan-badan berkanun Persekutuan, 42 syor terhadap pengurusan syarikat kerajaan dan agensi kerajaan Persekutuan.

Katanya, ia termasuk 173 syor bagi pengurusan aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

“Sebanyak 16 pengauditan prestasi dan lapan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Bagi peringkat negeri pula, 25 pengauditan prestasi dan 13 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri dijalankan.

“Pengauditan merangkumi pelbagai bidang antaranya pengurusan program, aktiviti, pembinaan, perolehan, sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi, penyenggaraan dan pengurusan hasil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Madinah berkata, pengauditan prestasi dijalankan mengikut standard pengauditan antarabangsa iaitu The International Standard of Supreme Audit Institutions (ISSAI) 3000, 3100 dan 3200.

Sementara itu, katanya, laporan audit ini juga mengesahkan penyata kewangan badan berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain bagi tahun 2017.

Beliau berkata, sebanyak 148 penyata kewangan bagi tahun kewangan 2017 diaudit untuk Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah serta agensi lain.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 110 penyata kewangan diberi Pendapat Tanpa Teguran, 17 penyata diberi Pendapat Tanpa Teguran dengan Penekanan, Pendapat Berteguran (6), Pendapat Bertentangan (1) dan Pendapat Penafian (1).

“Selain itu, 13 penyata kewangan agensi masih belum dimuktamadkan, yang mana sembilan daripadanya disebabkan Pengerusi Lembaga Pengarah belum dilantik dan mesyuarat lembaga pengarah tidak dapat diadakan bagi memperakui penyata kewangan yang diaudit,” katanya.

Madinah berkata, berdasarkan laporan audit itu menunjukkan dua jabatan persekutuan mencapai tahap cemerlang, tahap baik (10), memuaskan (lima) dan kurang memuaskan (dua).

Bagi pengesahan penyata kewangan kerajaan dan agensi kerajaan negeri pula, Madinah berkata, sebanyak 325 penyata kewangan perlu diaudit dan disahkan membabitkan 13 penyata kerajaan negeri, badan berkanun negeri (151), pihak berkuasa tempatan (148) dan Majlis Agama Islam negeri (13) sehingga 21 Nov 2018.

“Sebanyak 240 penyata kewangan negeri diberikan Pendapat Tanpa Teguran, Pendapat Tanpa Teguran dengan Penekanan (35) dan Pendapat Berteguran (28).

“Sebanyak 16 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan kerana kelewatan agensi mengemukakan penyata kewangan dan dokumen sokongan lengkap, manakala baki enam penyata kewangan masih belum dikemukakan agensi kepada pihak audit bagi tujuan pengauditan,” katanya.

Beliau berkata, bagi laporan audit kali ini, Jabatan Audit Negara menambah baik pendekatan pengauditan prestasi dengan memberi penekanan terhadap penilaian output dan outcome, serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan tahap kepuasan golongan sasaran terhadap program atau projek yang dilaksanakan kerajaan.

Berita Harian X