Selasa, 4 Disember 2018 | 2:13pm
Ketua Pembangkang yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) mendengar sesuatu daripada Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke 14 di Blok Utama, Parlimen, semalam. - Foto BERNAMA

Perhimpunan bantah ICERD tiada kaitan isu perkauman

KUALA LUMPUR: Perhimpunan membantah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hujung minggu ini, tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua pihak perlu memisahkan isu perkauman daripada acara itu yang bertujuan menyatakan penghargaan dan kesyukuran atas keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Katanya, pihak yang akan menyertai himpunan itu khususnya UMNO dan PAS tidak akan membangkitkan isu sensitif serta akan mematuhi segala peraturan termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Media harus berperanan bahawa himpunan ini tidak membangkitkan isu sensitif terutama mengenai kaum dalam masyarakat majmuk di negara kita.

“Pihak penganjur iaitu tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah mendapat permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis, juga akan mematuhi syarat diberi pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk mufti menyokong himpunan itu dibatalkan kerana isu ratifikasi ICERD sudah selesai, selain ada yang khuatir ia bakal mencetuskan ketegangan kaum susulan isu kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, baru-baru ini.

Pada 23 November lalu, kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak meletak sasaran bilangan tertentu untuk hadir ke himpunan itu, namun yakin ia bukan saja membabitkan ahli UMNO dan PAS, bahkan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Mengenai jaminan tiada unsur sabotaj pada himpunan itu, Ahmad Zahid berkata, pelbagai perkara sudah dilakukan bagi memastikan ia tidak berlaku dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

Berita Harian X