Selasa, 4 Disember 2018 | 3:53pm
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (tengah berjubah ungu) bersama kepimpinan UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (baju merah) dalam Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD di Kompleks Pas Perlis, semalam. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (tengah berjubah ungu) bersama kepimpinan UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (baju merah) dalam Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD di Kompleks Pas Perlis, semalam. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Tajuddin, Ibrahim diberi masa 24 jam tarik balik kenyataan

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Dr Ibrahim Ali diberi masa 24 jam untuk menarik balik kenyataan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan saman fitnah jika mereka enggan berbuat demikian.

“Saya memberi kedua-dua pemimpin ini (masa) 24 jam untuk menarik balik kenyataan mereka dalam media baru-baru ini, atau bersedia menghadapi saman fitnah daripada saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Waytha Moorthy berkata tindakan undang-undang dianggap saluran terbaik untuk membersihkan namanya daripada tohmahan melulu.

“Saya menjadi sasaran sejak menjawab soalan di Dewan Rakyat mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sebulan lalu.

“Tuduhan liar dan pembohongan mengenai saya dikeluarkan mereka yang mempunyai motif tersembunyi,” katanya.

Waytha Moorthy turut menyifatkan kenyataan dua pemimpin itu sebagai tidak membantu menyatukan negara dan dianggap tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia.

“Mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan palsu dan berunsur fitnah mengenai saya, seolah-olah saya menghina masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Ini tuduhan liar dan ‘ucapan benci’ untuk menghasut orang ramai menghadiri perhimpunan anti-ICERD yang dianjurkan PAS dan UMNO, dijadualkan Sabtu ini,” katanya.

Berita Harian X