Selasa, 4 Disember 2018 | 4:36pm
GAMBAR fail, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Fitri Nizam

Tiada konflik antara MB Terengganu, Presiden PAS

KUALA TERENGGANU: Tiada sebarang pertemuan sulit antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kepemimpinan kerajaan negeri serta pemimpin parti di peringkat negeri untuk membincangkan pertukaran Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar Abdul Hadi, Abdul Malik Ab Razak ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau turut menafikan desas-desus kononnya kedua-dua pemimpin itu berbalah sehingga menimbulkan konflik dalaman.

Katanya, khabar angin itu tidak masuk akal lebih-lebih lagi Ahmad Samsuri pernah dilantik sebagai setiausaha politik kepada Abdul Hadi selama 10 tahun.

“Saya ingin tegaskan tiada sebarang perjumpaan antara Abdul Hadi dengan kumpulan tertentu yang diwujudkan untuk menggulingkan Ahmad Samsuri sebagai menteri besar seperti ditular melalui media sosial sejak Ahad lalu.

“Tidak pernah ada perbezaan pendapat atau konflik berhubung isu wang royalti minyak serta ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum),” katanya.

Kelmarin, kecoh di media sosial kononnya terdapat kumpulan bertemu Abdul Hadi bagi menukarkan menteri besar dan menyerahkan jawatan berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mesej yang tular itu mendakwa, tindakan berkenaan disebabkan wujudnya rasa tidak puas hati kumpulan tertentu terhadap Ahmad Samsuri yang dikatakan lebih mengutamakan orang luar dalam membuat lantikan politik.

Sementara itu, Muhammad Khalil yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp enggan mengulas lanjut kerana sedang mengerjakan umrah.

Berita Harian X