Selasa, 4 Disember 2018 | 6:48pm
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee - Foto ASYRAF HAMZAH

Ambrin beri maklumat baharu - PAC

KUALA LUMPUR: Beberapa maklumat baharu berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperoleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata maklumat baharu itu diperoleh dalam prosiding pindaan laporan audit 1MDB membabitkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Sehubungan itu, katanya, PAC perlu memanggil semula Ambrin dalam waktu terdekat, bersama lima atau enam individu yang terbabit dalam proses pengauditan laporan 1MDB itu pada 2014.

“Ya, ada maklumat baharu diperoleh PAC daripada perspektif Tan Sri Ambrin sebagai Ketua Audit Negara yang menjalankan audit terhadap 1MDB.

“Susulan maklumat baharu diperoleh, banyak lagi pertanyaan perlu dikemukakan dan disebabkan itu, kita perlu memanggil semula Tan Sri Ambrin dan pasukan auditnya.

“Semua maklumat baharu itu berkisar mengenai sama ada berlaku atau tidak pindaan dalam laporan audit 1MDB itu.

“PAC tidak menyentuh mengenai siasatan 1MDB, hanya membabitkan dakwaan pindaan laporan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan prosiding membabitkan pindaan laporan audit 1MDB membabitkan Ambrin di Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada Ambrin ada mendedahkan dalang yang mengarahkan pindaan itu dilakukan, Kiandee berkata, ia tidak boleh didedahkan kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 85.

Kiandee juga enggan mengulas sama ada kenyataan diberi Ambrin dalam prosiding hari ini menjurus kepada berlakunya pindaan dalam laporan audit 1MDB.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan, Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Berita Harian X