Selasa, 4 Disember 2018 | 6:59pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika hadir di Dewan Rakyat , Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika hadir di Dewan Rakyat , Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pindaan 3 akta buka ruang mahasiswa berpolitik di kampus

KUALA LUMPUR: Tiga akta dibentang untuk pindaan di Dewan Rakyat hari ini, bagi membolehkan mahasiswa menyertai aktiviti politik di kampus.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, membentangkan pindaan terhadap Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 untuk bacaan kali pertama.

Katanya, pindaan AUKU dibuat bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Maszlee berkata, pindaan itu adalah langkah pertama dalam transformasi pendidikan tinggi seiring hasrat kementerian melahirkan graduan holistik, seimbang dan mampu bersaing di mata dunia.

“Ia turut meletak sasaran penggubalan satu akta baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan AUKU menjelang 2020.

“Langkah memansuhkan peruntukan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 47(2)(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

“Ketika ini, ia terpakai kepada semua universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik, kolej komuniti serta institut perguruan,” katanya.

Beliau berkata, pemansuhan Seksyen 15(2)(c) selari dengan transformasi politik yang dibawa kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi.

Katanya, pemansuhan itu dapat memberi ruang kepada mahasiswa bersuara dan terbabit dalam aktiviti politik mengikut sistem demokrasi, selain berupaya menyuarakan pendapat mengenai isu semasa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita berada dalam tahap pencapaian sejarah dan pengalaman ini akan dirakam dalam lipatan sejarah kerana pindaan ini sudah lama diharapkan banyak pihak, khususnya mahasiswa.

“Kita komited menghapuskan AUKU demi mengangkat martabat universiti dan mahasiswa.

“Seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), AUKU tetap dimansuhkan,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 November lalu memberi kelulusan bagi membolehkan pemansuhan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU dilakukan sebelum dimansuhkan.

Berita Harian X