Selasa, 4 Disember 2018 | 9:57pm

AirAsia, AirAsia X kena penalti, gagal patuhi MACPC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenakan penalti kewangan masing-masing berjumlah RM160,000 terhadap AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad kerana gagal mematuhi sub perenggan 3 (1) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) pada suku kedua 2018.

Menurut laporan yang disiarkan di laman web MAVCOM, penalti terhadap syarikat berkenaan di keluarkan kerana didapati mengiklankan harga tiket penerbangan mengelirukan.

MACPC memperuntukkan syarikat penerbangan hendaklah menyatakan harga tambang akhir yang perlu dibayar pelanggan, termasuk perkhidmatan pengangkutan udara yang ditawarkan syarikat penerbangan dalam apa juga bentuk, termasuk tawaran di internet.

“Harga akhir tambang udara hendaklah termasuk sebarang cukai dikenakan, yuran, caj dan surcaj yang tidak dapat dielakkan pada masa ia diterbitkan,” menurut laporan yang disiarkan dalam Newsroom di laman web berkenaan.

AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad yang didapati mengiklankan harga tiket penerbangan mengelirukan membuat pembayaran penuh kepada MAVCOM pada 26 Oktober dan 9 November lalu.

MACPC berkuat kuasa pada 1 Julai 2016. Ia sejajar matlamat suruhanjaya itu dalam melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Sebagai kod perlindungan pengguna yang pertama khusus untuk industri penerbangan Malaysia, MACPC menyasarkan untuk memberi lebih banyak ketelusan berhubung penyediaan perkhidmatan penerbangan kepada pelanggan.

Panduan berkenaan membantu pengguna untuk jelas dan tahu mengenai hak dan kepentingan mereka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X