Rabu, 5 Disember 2018 | 3:55pm
SHEIKH Tamim Hamad Al-Thani

Emir Qatar adakan lawatan kerja ke Malaysia

PUTRAJAYA: Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani akan melakukan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini hingga Jumaat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Sheikh Tamim akan diiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negerinya, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani; Ketua Amiri Diwan, Sheikh Khalid Khalifa; Pengarah Pengajian dan Penyelidikan Jabatan Amiri Diwan, Mohammed Nasser Al-Fahid Al-Hajri; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar, Mansour Ibrahim Al-Mahmoud dan pegawai kanan kerajaan.

"Ketika lawatan itu Sheikh Tamim dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diikuti dengan mesyuarat delegasi antara Malaysia dan Qatar.

"Sheikh Tamim juga akan menghadiri Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti-Rasuah Sheikh Tamim Kali ke-3 di Putrajaya," katanya.

Menurut kenyataan itu, lawatan ini akan menandakan pertemuan rasmi pertama antara Emir Qatar dan Dr Mahathir sejak perubahan kepemimpinan Malaysia pada Mei lalu.

"Ia akan memberikan peluang yang baik kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan perkara berkaitan hubungan dua hala dan juga bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama," katanya.

Berita Harian X