Rabu, 5 Disember 2018 | 5:23pm
M Kulasegaran. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pensyarah TVET perlu jalani latihan industri

KUALA LUMPUR: Pensyarah Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu menjalani latihan industri selepas waktu kerja bagi meningkatkan kemahiran berdasarkan kursus atau bidang diajar.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata kebanyakan mereka didapati tidak memiliki kepakaran secara amali.

“Saya hairan ramai pensyarah kita tiada kepakaran tertentu dan kalau ada pun, ramai pakar akademik, bukan ‘hands on’.

“Saya dan timbalan menteri putuskan supaya pensyarah terbabit dihantar ke latihan industri selepas waktu pejabat untuk memperoleh kepakaran dan membolehkan mereka mengajar dengan elok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, hari ini.

Kulasegaran berkata, masalah logistik termasuk lokasi pusat pengajian yang jauh turut menyulitkan pembelajaran pelajar.

“Sebagai contoh, saya ada melawat sebuah institut teknikal di Padang Serai baru-baru ini.

“Lokasinya jauh dari tempat perindustrian manakala hala tujunya nampak kabur kerana menyukarkan anak kita untuk belajar,” katanya.

Berita Harian X