Khamis, 6 Disember 2018 | 3:02pm
MOHD Anuar (tengah), Dr Sharif Abu Shammala (kiri) dan Dr Zulkifli Hasan pada Majlis Ikrar Mempertahankan Kota A-Quds (Baitulmaqdis) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - NSTP/Mahzir Mat Isa

40 NGO ikrar pertahan, bebaskan Baitulmaqdis

GOMBAK: Buat julung kalinya, 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul dalam Majlis Ikrar Mempertahankan Kota A-Quds (Baitulmaqdis) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Majlis anjuran Yayasan Al-Quds Malaysia itu diadakan genap setahun selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf kota suci Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang turut menerima kritikan antarabangsa khususnya daripada negara Islam.

Sejajar pengumuman itu, Trump turut memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds, Dr Sharif Abu Shammala, pihaknya berterima kasih kepada NGO termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kerajaan Malaysia atas komitmen berterusan menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.

“Kami memilih tarikh ini sama dengan tarikh Presiden AS mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bagi menyatakan bantahan kami secara aman.

“Acara ini (ikrar) adalah acara simbolik untuk menyatakan kepada dunia bahawa kami bersatu dalam menentang segala usaha jahat terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan dan Ustazah Al-Aqsa, Zeina Amr.

Pada sidang media Dr Sharif berkata, kesan pengisytiharan oleh Trump menyebabkan keadaan di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa semakin huru-hara apabila setiap hari, rejim zionis meningkatkan keganasan.

“Mereka (Israel) juga melakukan kerja-kerja penggalian di sekeliling masjid dan saya difahamkan maklumat terkini, terdapat kira-kira 65 terowong.

“Israel sedang berusaha untuk membina bandar baharu untuk penduduk Yahudi di bawah bandar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

“Idea ini juga bertujuan untuk menghalau dan memusnahkan penempatan Palestin di bandar berkenaan,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan melakukan segala yang termampu untuk membebaskan rakyat Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, kerajaan komited menentang sebarang bentuk penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Majlis ikrar ini amat bermakna, kerana kita ingin mengingatkan kepada dunia, apapun langkah yang diambil Trump itu tidak akan disokong oleh pencinta damai seluruh dunia.

“Walaupun sudah setahun beliau (Trump) umum dan sudah memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, itu tidak bermakna kita akan membiarkan ini dengan mudah.

“Walaupun ada (negara) rakannya iaitu Australia sokong, tapi kita bersumpah akan menentang habis-habisan dan meyakinkan semua negara pencinta perdamaian supaya jangan mengikut langkah jahat AS itu,” katanya.

Majlis bacaan ikrar itu dipimpin Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dan sebagai simbolik, Zeina turut menyerahkan sebotol kecil mengandungi tanah Baitulmaqdis dan setangkai daun pokok zaiton kepada Mohd Anuar.

Walaupun dilarang membawa keluar tanah dari kota suci itu, menurut Ziena ia sebagai simbolik ‘amanah’ dan perlu dikembalikan ke sana apabila ia dibebaskan kelak.

Menurut Mohd Anuar beliau berikrar akan menunaikan amanah itu, namun jika umurnya tidak panjang ia akan dilaksanakan oleh anak atau cucunya, kelak.

Berita Harian X