Khamis, 6 Disember 2018 | 3:33pm
MOHAMAD Ali Mohamad

9,000 ahli UMNO, PAS Melaka solidariti ke himpunan ICERD

*Foto - gambar fail NSTP

MELAKA: Solidariti UMNO dan PAS Melaka diterjemahkan apabila lebih 9,000 ahli dua parti itu dijangka menyertai perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pengerusi Sekretariat Perhimpunan Kesyukuran Penolakan Ratifikasi ICERD Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata penyertaan ribuan ahli UMNO dan PAS Melaka termasuk anggota badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Pembela Ummah itu sebagai kemuncak tanda kesyukuran ummah terhadap penolakan ICERD di negara ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata lebih 6,000 ahli UMNO mewakili enam UMNO Bahagian di negeri ini dijangka turut menyertai perhimpunan di ibu negara itu.

“Kita sudah bermesyuarat kira-kira 10 hari lalu, sebelum memutuskan setiap UMNO Bahagian akan menghantar sekurang-kurangnya 1,000 ahli ke perhimpunan ICERD.

“Malah, di UMNO Bahagian Tangga Batu yang saya ketuai sendiri, kira-kira 20 bas akan disediakan, selain kira-kira 200 kenderaan lain untuk bersama-sama menyertai ribuan ummah ke perhimpunan ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek, ketika dihubungi berkata, kira-kira 3,000 ahlinya dijangka dikerah untuk menyertai perhimpunan berkenaan di ibu negara.

“PAS Melaka, termasuk 193 cawangan di negeri ini sudah menghebahkan semua ahli parti untuk menyertai perhimpunan penting menyatukan ummah.

“Setakat ini, sebanyak 12 bas disediakan, selain ada juga yang menaiki kenderaan sendiri. Malam ini juga, PAS akan mengadakan siri ceramah terakhir dalam usaha menggerakkan ahli serta masyarakat ke perhimpunan berkenaan,” katanya.

Perhimpunan yang awalnya bertujuan membantah cadangan ratifikasi ICERD, bertukar menjadi ‘perhimpunan kesyukuran’ susulan kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, pada 23 November lalu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Berikutan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini akan tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Berita Harian X