Jumaat, 7 Disember 2018 | 12:09am
GUAN Eng menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2018, di Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sektor korporat perlu telus sediakan laporan

KUALA LUMPUR: Sektor korporat disaran untuk menyediakan laporan lebih telus termasuk aktiviti dijalankan bagi memperoleh keyakinan orang ramai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata di bawah kerajaan baharu, pendedahan penuh, termasuk laporan tadbir urus yang bebas daripada rasuah diberikan penekanan sebaiknya.

Katanya, selain kerajaan, badan profesional dan pengamal perakaunan juga berperanan dalam membantu memastikan bahawa piawaian tertinggi itu dikekalkan di dalam negara ini.

“Kami berharap sektor korporat dan kerajaan dapat bersama-sama merealisasikan hasrat ini.

“Sehubungan itu kerajaan memastikan perlantikan Lembaga Pengarah di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tidak boleh datang dari mereka yang mempunyai latar belakang politik tetapi mesti daripada individu yang mempunyai latar belakang profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2018, di sini, malam ini.

NACRA dianjurkan bersama Bursa Malaysia, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) bagi mengiktiraf kecemerlangan, laporan dan komunikasi lebih berkesan dalam penyampaian maklumat kewangan dan perniagaan.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NACRA, Stanley Teo Swee Chua.

Guan Eng berkata, laporan korporat yang telus penting berikutan reputasi negara rosak teruk akibat krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru, katanya menjadi tanggungjawab semua pihak membina kembali reputasi berkenaan bagi menimbulkan keyakinan dalam menarik ahli perniagaan untuk melabur di Malaysia.

“Dasar Kompetensi Kerajaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) serta pendedahan yang lebih menyeluruh akan membolehkan kita mencapai matlamat ini.

“Dalam usaha ke arah itu, kerajaan akan memastikan perolehan kerajaan akan dilakukan melalui tender terbuka, dan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk memastikan ia tidak membabitkan wang orang awam,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau yakin dalam jangka panjang, pendekatan itu berupaya memastikan kewangan negara pulih semula.

NACRA mempertaruhkan 26 anugerah dengan Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan dimenangi CIMB Group Holdings Berhad.

Antara anugerah diungguli CIMB pada malam itu ialah Anugerah Platinum bagi kategori Laporan Tahunan Paling Menyerlah, Anugerah Emas bagi kategori Reka Bentuk Laporan Tahunan Terbaik dan Anugerah Perak bagi kategori Laporan Inklusif dan Diversiti Terbaik.

Media Prima Berhad turut dianugerahkan Sijil Merit bersama 18 syarikat lain termasuk Astro Malaysia Holdings Berhad dan Petronas Dagang Berhad.

Berita Harian X