Jumaat, 7 Disember 2018 | 12:58pm
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pemimpin, ahli UMNO Pahang bertolak tengah malam ini dan pagi esok

KUANTAN: Lebih 20,000 pemimpin dan ahli UMNO Pahang akan menyertai himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di ibu negara, petang esok.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah itu adalah anggaran awal, selepas semua 14 Bahagian UMNO Pahang menyatakan persetujuan untuk menyertai himpunan berkenaan.

“Semua (14 Bahagian) mengesahkan akan hantar pimpinan dan ahli bagi menyertai himpunan itu. Kita jangka lebih 20,000 peserta dari Pahang akan ke ibu negara untuk bersama-sama dalam himpunan (petang) esok,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar berkata, pihak UMNO negeri tidak menyediakan sebarang perkhidmatan pengangkutan percuma kepada semua pemimpin dan ahli parti itu yang mahu menyertai himpunan terbabit.

“Kita (Badan Perhubungan UMNO negeri) memang tidak menyediakan pengangkutan (percuma) kepada mereka yang ingin ke ibu negara bagi mengambil bahagian dalam himpunan (bantah ICERD) petang esok.

“Kebanyakannya bergerak secara berkumpulan atas inisiatif sendiri dan pemimpin setempat... ramai daripadanya pergi dengan kenderaan sendiri dan ada yang sanggup berkongsi duit untuk menyewa van bagi memudahkan mereka bergerak ke sana,” katanya.

Beliau memaklumkan kebanyakan peserta himpunan bantah ICERD dari Pahang akan mula bertolak ke ibu negara tengah malam ini dan pagi esok.

Berita Harian X