Sabtu, 8 Disember 2018 | 7:56pm
Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) ketika hadir di majlis penyerahan borang keahlian dan kemasukan ahli baharu ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) ketika hadir di majlis penyerahan borang keahlian dan kemasukan ahli baharu ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Pasukan keselamatan perlu tegas tangani kes culik di Sabah

TAWAU: Kerajaan Sabah mahu pasukan keselamatan mengambil tindakan menyerang atau ‘offensive’ dalam usaha mengekang kejadian jenayah rentas sempadan dan kes penculikan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sudah sampai masanya kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia mengambil pendekatan tegas itu kerana yang menjadi mangsa kerap membabitkan rakyat ketiga-tiga negara.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa keselamatan negeri yang akan diadakan pada Isnin ini bagi memperincikan bentuk tindakan atau langkah yang perlu diambil bagi menangani isu itu.

“Selain meningkatkan operasi, sudah sampai masanya negara terbabit bertindak balas dan jika perlu kita kejar dan kesan kumpulan penculik berkenaan.

“Yang terbabit dalam kejadian penculikan ini adalah rakyat negara jiran Filipina, kita perlu bergabung tenaga dan mengambil langkah tegas dan bertindak balas. Jangan lagi terlalu bersikap ‘defensive’ (bertahan) macam main bola, kalau selalu kena serang akhirnya gol juga,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keahlian dan kemasukan beramai-ramai ahli baharu WARISAN, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kiri) ketika hadir di majlis penyerahan borang keahlian dan kemasukan ahli baharu ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kiri) ketika hadir di majlis penyerahan borang keahlian dan kemasukan ahli baharu ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Muis Picho; ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisah Samat; dan ADUN Merotai, Sarifuddin Hatta.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden sebuah bot tunda diserang kumpulan bersenjata di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan dan kehilangan tiga nelayan di lokasi berkenaan pada Rabu lalu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Mohd Shafie menerima kemasukan kira-kira 7,000 ahli baharu WARISAN.

Penyertaan secara beramai-ramai itu adalah daripada 121 cawangan baharu yang dibentuk di kawasan Parlimen Kalabakan termasuk Sebatik.

Mohd Shafie berkata, pertambahan keahlian WARISAN bukan saja dapat memperkasa dan menguatkan parti, malah mampu menyatukan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Apa yang hendak saya tekankan ialah, apabila ada kemasukan ahli baharu ini, kita perlu lakukan perubahan dan jangan bawa budaya yang tidak elok ke dalam parti,” katanya.

Berita Harian X