Isnin, 10 Disember 2018 | 12:34am
TUN Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH 2018 di PICC, malam ini. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

PH yakin menang PRU-15 dengan pentadbiran bersih

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kekal menerajui negara jika meneruskan pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah.

Perdana Menteri berkata, sekiranya PH terus bersih dan dilihat oleh rakyat sebagai pemerintahan yang tidak kotor dan dicemar ketamakan wang maka PH akan terus berkuasa.

“Apabila datang PRU-15 yang tidak dipimpin oleh saya, kita akan menang juga kerana kita bersih. Tapi kalau kita kotor, perasuah dan tidak kira sesiapa pun pemimpinnya, kita akan kalah.

“Ini kerana penolakan kepada amalan haram yang buruk dan berdosa ini hanya akan membawa banyak kenikmatan kepada negara dan rakyat,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH di sini, malam ini.

Dr Mahathir menegaskan pentadbiran PH menentang rasuah kerana ia hanya menggagalkan negara.

“Hanya negara tidak amal rasuah boleh berjaya dan dibangunkan, ..itu dapat dilihat di merata dunia, mereka maju kalau bersih (rasuah), punah kalau tidak bersih.

“Kita juga ingin rakyat tolak rasuah untuk dapat sesuatu dari pihak pemerintah atau urusan lain. Ini perubahan ketara dan besar dilakukan kita, kita dirikan kerajaan yang bersih kerana rakyat tentukan ini kerajaan yang bersih.

“Saya harap orang PH akan ingat kita ini dipilih kerana kita bersih dan sebab itu kita jangan terbabit dengan perkara yang dilarang,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau yakin prestasi ekonomi akan pulih dengan baiknya namun sudah tentu rakyat biasa belum dapat menikmati kejayaan itu.

“Kita tidak dapat nikmat darinya sehingga genap sekian masa, saya yakin 2019 rakyat akan berasa lega.

“Namun golongan miskin dan lain mereka tidak dapat menunggu kerana tekanan kos sara hidup tinggi. Kita berjanji untuk pulihkan negara dan saya akan minta Menteri Kewangan bermurah hati membantu mereka yang miskin ini yang wang mereka dicuri kerajaan lalu.

“Kita tidak ada duit banyak kerana tidak curi duit tapi dengan duit yang sedikit yang kita ada ini kita akan bantu mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan PH menggunakan cara lama untuk memungut derma menerusi malam amal kerana tidak mahu pungutan menjadi satu rasuah.

“Bagi mereka yang menderma malam ini saya minta maaf, tiada keistimewaan bagi kamu, kalau nak apa-apa dari kerajaan kena bersaing dalam proses tender terbuka. Kalau tawaran dibuat oleh kamu baik mungkin kamu akan menang (tender).

“Inilah kerajaan PH, dan kita perlu tentukan apa yang dilakukan bersih rasuah, tiada lagi ‘cash is king’.

“Pegang kepada janji yang dibuat oleh kita walaupun janji sukar dilaksanakan kita akan tunai janji kepada rakyat untuk

pulihkan negara tercinta, negara bertuah ini... negara yang dulu dikenali sebagai Harimau Asia,” katanya.

Berita Harian X