Isnin, 10 Disember 2018 | 10:09am

65 peratus kuota MRSM diisi pelajar B40

Kerajaan memutuskan kuota 65 peratus kemasukan baharu ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2019, mesti diisi pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata kuota disasarkan itu mesti dicapai bagi membuka peluang lebih besar kepada pelajar dari kumpulan berkenaan untuk memperoleh pendidikan yang lebih berkualiti.

“Sebelum ini sukar untuk mencapai tahap 65 peratus kemasukan pelajar MRSM daripada golongan itu, namun menjadi sasaran kita untuk memastikan kuota berkenaan dicapai melalui sesi 2019.

“Untuk itu kita sudah kenal pasti beberapa sebab pelajar dari keluarga B40 memilih untuk tidak memasuki MRSM, biarpun memiliki dan melepasi kelayakan ditetapkan,” katanya kepada BH.

Ditanya mengenai sebab terbabit, beliau berkata satu daripadanya ialah keputusan kemasukan ke MRSM yang biasanya diumumkan Januari, yang dilihat memaksa keluarga melakukan persiapan baharu buat anak masing-masing sekiranya menerima tawaran terbabit.

“Ketika ini (Januari) banyak keluarga termasuk dari kumpulan B40 sudah sediakan persiapan seperti bayar yuran dan beli buku, jadi sukar untuk ibu bapa buat persiapan (baharu) dari segi kewangan (selepas anak ditawar masuk ke MRSM).

Buat persiapan

“Kalau kita umum (kemasukan) lebih awal, ibu bapa akan dapat buat persiapan dan perancangan mengenai persekolahan anak mereka secara lebih baik," katanya kepada BH.

Sebelum ini Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, menegaskan pihaknya sentiasa memberi keutamaan kepada pelajar dalam kategori B40 dan keluarga berpendapatan pertengahan (M40) untuk melanjutkan pengajian di MRSM, namun Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Datuk Alexander Nanta Linggi, menegaskan tiada kuota khusus ditetapkan bagi calon daripada kedua-dua kumpulan itu.

Berdasarkan maklumat, kuota maksimum pengambilan pelajar baharu untuk 54 MRSM seluruh negara bagi tahun depan adalah 7,760 bagi kemasukan Tingkatan Satu, manakala 2,245 tempat lagi untuk Tingkatan Empat.

Ditanya sama ada kemudahan infrastruktur sedia ada mencukupi jika semua kuota 65 untuk pelajar dari keluarga B40 itu dipenuhi, Rina berkata MARA dan kementeriannya akan terus berusaha memastikan prasarana mencukupi bagi menampung bilangan permohonan yang semakin ramai setiap tahun, termasuk dari golongan berkemampuan.

“MARA sedang membangunkan tiga lagi MRSM baharu iaitu di Bintulu, Sabah serta dua di Kelantan iaitu di Ketereh dan Tanah Merah. Dengan tambahan ini kita akan ada lebih banyak MRSM.

Bangun kemudahan

“Dari segi kemampuan memang cukup, cuma pada masa ini kita beri tumpuan kepada (kemasukan) B40. Bagi MRSM Bintulu contohnya, kita dapat kerjasama dengan PETRONAS membangunkan kemudahan di sana," katanya.

Mengenai keputusannya membatalkan penubuhan MRSM berbayar sebelum ini, Rina berkata, pendekatan itu diambil bagi mengelak wujud dua kelompok dalam MRSM.

“Nanti akan wujud stigma kamu masuk MRSM berbayar dan kami tidak berbayar. (Stigma sebegini perlu dielak) baik dalam kalangan pelajar mahupun ibu bapa. Ini yang kita tidak mahu.

“Matlamat MRSM adalah untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada semua tanpa mengira kemampuan dan latar belakang keluarga," katanya.

Cadangan penubuhan MRSM berbayar disuarakan menteri terdahulu, berikutan dakwaan kononnya MRSM sudah dimonopoli pelajar dari kalangan keluarga berkemampuan, sehingga menyebabkan kumpulan B40 sukar memperoleh tempat di sana.


EMPAT pelajar MRSM Kubang Pasu berjaya meraih pingat emas dan gangsa pada pertandingan Projek Informatik Antarabangsa 2017 (Infomatrix) di Bucharest Romania. - Foto Saifullizan Tamadi

MAKTAB Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran. - Foto Effendy Rashid
Berita Harian X